Kes jenayah meningkat: Enam SJR sekitar Putra Perdana dilaksanakan hari ini

Bernama
April 3, 2023 14:25 MYT
Menurut Wan Kamarul Azran, SJR yang merupakan sebahagian daripada Op Cegah Jenayah itu disertai kira-kira 100 anggota dari tiga balai iaitu Balai Polis Sepang, Balai Polis Putra Perdana dan Balai Polis Cyberjaya.- Fail/BERNAMA
SEPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang akan melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) statik di enam lokasi hotspot sekitar Putra Perdana di sini, bermula hari ini hingga Rabu susulan peningkatan kes jenayah di kawasan itu.
Bercakap pada sidang media mengenai Op Khas Putra Perdana hari ini, Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata SJR yang merupakan sebahagian daripada Op Cegah Jenayah itu disertai kira-kira 100 anggota dari tiga balai iaitu Balai Polis Sepang, Balai Polis Putra Perdana dan Balai Polis Cyberjaya.
"Kes jenayah dalam kawasan pentadbiran Balai Polis Putra Perdana agak menonjol kerana dalam bulan Mac lepas sahaja terdapat 16 kes jenayah. Balai polis (daerah Sepang) lain paling tinggi 10 kes. Atas sebab ini kami tumpukan operasi cegah jenayah di kawasan ini," katanya.
Wan Kamarul Azran berkata kes jenayah paling tinggi direkodkan melibatkan kes curi iaitu tujuh kes, pecah rumah (empat), curi motosikal (dua) dan masing-masing satu kes curi kereta, rogol dan samun tanpa senjata api.
Bagi tempoh 1 Jan hingga 15 Mac lepas, beliau berkata kes jenayah yang direkodkan di kawasan pentadbiran IPD Sepang 161 kes berbanding 111 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
Menyentuh perancangan IPD Sepang dalam membanteras jenayah di kawasan pentadbiran daerah itu, beliau berkata pihaknya memberi tumpuan utama kepada lima kawasan iaitu Kampung Datuk Abu Bakar Baginda, Putra Perdana, Cyberjaya, Dengkil dan Bandar Baru Salak Tinggi.
"Untuk tingkatkan kawalan, kami akan tambah kereta peronda kerana kami dapati kaedah rondaan amat perlu terutama di kawasan lebuh raya seperti SKVE (Lebuhraya Lembah Klang Selatan) dan LDP (Lebuhraya Damansara-Puchong) selain beberapa jalan utama di Dengkil dan Cyberjaya," katanya.
-- BERNAMA
#Sekatan Jalan Raya #Putra Perdana #jenayah meningkat #Polis Daerah Sepang
;