Kes Jana Wibawa: Adam Radlan didakwa lagi
Bernama
Februari 28, 2023 10:10 MYT
Februari 28, 2023 10:10 MYT
KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut, Adam Radlan Adam Muhammad sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan meminta rasuah berjumlah RM2 juta berhubung projek Jana Wibawa.
Adam Radlan, 42, yang juga ahli perniagaan mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya itu dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.
"Faham pertuduhan dan mohon dibicarakan," kata tertuduh yang bersut biru.
Mengikut pertuduhan, Adam Radlan didakwa secara rasuah meminta suapan wang berjumlah RM2 juta daripada Lian Tian Chuan sebagai upah untuk tertuduh kerana membantu syarikat Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Ibu Pejabat Daerah Klang Utara, Selangor daripada Kerajaan Malaysia bernilai RM141 juta.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah restoran di Publika, Damansara sekitar Januari 2022.
Pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) SPRM Farah Yasmin Salleh memohon mahkamah mengguna pakai jaminan RM300,000 dengan dua penjamin yang ditetapkan sebelum ini terhadap tertuduh di mahkamah Shah Alam.
Menurut Farah, tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 22 Feb lepas atas kesalahan menerima rasuah membabitkan projek sama (Jana Wibawa).
"Pihak pendakwaan akan memohon supaya kes di mahkamah Shah Alam dan di mahkamah ini dibicarakan bersama.
"Namun, pihak kami masih belum mendapat arahan sama ada kes akan dibicarakan di mahkamah Shah Alam atau mahkamah Kuala Lumpur," katanya yang turut dibantu seorang lagi TPR, Natrah Fareha Rahmat.
Peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam, yang mewakili Adam Radlan tidak membantah isu jaminan dan memaklumkan kepada mahkamah berhubung syarat tambahan diberikan oleh mahkamah sebelum ini, iaitu anak guamnya perlu melapor diri di pejabat SPRM di Putrajaya sebulan sekali dan pasportnya juga diserahkan kepada mahkamah.
Azura kemudian membenarkan tertuduh mengguna pakai jaminan RM300,000 yang ditetapkan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini berserta syarat tambahan sama selain menetapkan 23 Mac untuk sebutan semula kes.
Pada 21 Feb lepas, Adam Radlan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah membabitkan projek sama manakala pada 22 Feb, dia juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas dua lagi pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berhubung projek serupa.
Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilapor berkata projek Jana Wibawa ditangguh pelaksanaannya bagi meneliti semula sama ada tatacara perolehannya dibuat mengikut peraturan ditetapkan perbendaharaan.
Menurut Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, penangguhan projek melibatkan nilai RM5.7 bilion itu dibuat kerana terdapat unsur kaedah perolehan dibuat secara tender terpilih atau runding terus.
-- BERNAMA