Kes Ismail Sabri: SPRM tahan pengurup wang bantu siasatan
Bernama
Mac 19, 2025 23:00 MYT
Mac 19, 2025 23:00 MYT
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, berkata suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan, namun dilepaskan selepas mengadu sakit jantung. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan seorang pengurup wang berhubung kes rasuah dan pengubahan wang haram yang membabitkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, ketika dihubungi, berkata suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan, namun dilepaskan selepas mengadu sakit jantung.
Beliau berkata suspek kemudian dirujuk kepada doktor dan disahkan mengalami masalah jantung tersumbat sebelum dilepaskan bagi menerima rawatan lanjut.
Dalam pada itu, Azam berkata proses merakam keterangan Ismail Sabri mungkin akan mengambil beberapa sesi lagi sebelum selesai.
Ketika ditanya mengenai kemungkinan pendakwaan, beliau berkata masih ada beberapa individu lain yang perlu dipanggil untuk dirakam keterangannya.
Petang tadi, bekas perdana menteri itu dilihat meninggalkan Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya pada 4.35 petang selepas proses merakam keterangannya berlangsung selama lebih enam jam.
Sumber SPRM mengesahkan bahawa proses merakam keterangan Ismail Sabri akan disambung pagi esok.
Beliau disiasat berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram berhubung perbelanjaan serta perolehan dana untuk promosi dan publisiti program Keluarga Malaysia sepanjang tempoh perkhidmatannya dari Ogos 2021 hingga November 2022.
-- BERNAMA