GEORGE TOWN: Kes influenza A dan B semakin meningkat di Pulau Pinang sejak tiga minggu lepas, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Chow berkata, kadar kes influenza A dan B tidak termasuk dalam penyakit yang perlu dinotifikasikan, namun sejak tiga minggu lepas kadar konsultasi kes itu di Pulau Pinang semakin meningkat.

"Namun keadaan kes tersebut adalah terkawal," katanya kepada pemberita ketika ditanya keadaan semasa kes penyakit seperti influenza (ILI) di Pulau Pinang, di sini hari ini.

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang dalam kenyataan menasihatkan penduduk di negeri itu supaya sentiasa mengamalkan langkah-langkah pencegahan daripada penyakit influenza seperti mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dan mengamalkan cara hidup sihat.

Menurut kenyataan itu lagi, pelbagai usaha membendung penyakit tersebut sentiasa dilakukan bagi membolehkan langkah pencegahan awal diambil sekali gus mengelak risiko jangkitan kes influenza.

-- BERNAMA