Kes HFMD dijangka menurun dalam dua hingga tiga minggu lagi - Khairy
Abd Hadi Che Awang
Jun 9, 2022 15:11 MYT
Jun 9, 2022 15:11 MYT
ALOR SETAR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjangkakan gelombang kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) akan menurun dalam jangka masa dua hingga tiga minggu lagi.
Menterinya, Khairy Jamaluddin menjelaskan ia berikutan kes membabitkan gelombang berkenaan adalah bermusim dan bersifat setempat.
"HFMD ini kita anggap sebagai sesuatu yang localized di beberapa tempat dan saya pun telah keluarkan kenyataan bahawa kita menjangkakan gelombang HFMD ni dia akan mula turun dalam dua tiga minggu lagi.
"Biasanya HFMD ini dia bermusim, dia akan mula (kemudian) dia akan jadi gelombang dan tidak sampai sebulan dia akan turunlah dengan signifikan dengan sendirinya," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas hadir pada majlis penyerahan sumbangan perubatan daripada Kerajaan Jepun di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada Khamis.
Tambahnya, peningkatan kes dalam kalangan kanak-kanak terutama di tadika dan taska berlaku disebabkan imuniti golongan berkenaan agak rendah selepas tidak terdedah dengan 'dunia luar' dalam tempoh hampir dua tahun.
"Ini disebabkan kanak-kanak ini sudah dua tahun, dia tak keluar, jadi bila dia tak terdedah, (dan kemudian) terdedah kepada virus ini, dia punya tahap imuniti pun turunlah selain di juga tidak pernah jumpa virus ini.
"Ini teori klasikal 'natural' imuniti, apabila dia tidak terdedah dengan virus-virus (dalam satu-satu tempoh yang agak lama), dia punya imuniti akan rendah.
"Disebabkan itu mungkin kes agak tinggi sekarang sebab kanak-kanak kita boleh dikatakan (terkena jangkitan virus) sebagai HFMD (ini), (ia adalah) virus coxsackie (iaitu) antara virus naif, maka dia akan ada banyak kes sikit," katanya lagi.