Kes HFMD di Johor meningkat 12.8 kali ganda, 7 wabak aktif dikesan

Astro Awani
Mei 18, 2022 09:02 MYT
Kebanyakan kes HFMD di Johor berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 0-6 tahun iaitu sebanyak 1,127 kes (91 peratus). - Gambar hiasan/ Reuters
JOHOR BAHRU: Johor mencatatkan peningkatan kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) sebanyak 12.8 kali ganda iaitu 1,237 kes bagi tempoh Januari hingga 14 Mei, berbanding 97 kes dalam tempoh sama tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon, berkata peningkatan itu telah dijangka berikutan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) dalam negara sempena Fasa Peralihan ke Endemik.
Katanya, kebanyakan kes HFMD berlaku dalam kalangan kanak-kanak berumur 0-6 tahun iaitu sebanyak 1,127 kes (91 peratus); diikuti oleh kumpulan umur 7-12 tahun iaitu 94 kes (8 peratus), dan selebihnya adalah berumur lebih daripada 13 tahun.
Dalam pada itu, katanya ketika ini sebanyak tujuh kes wabak aktif HFMD dilaporkan iaitu di Kluang dan Tangkak.
Katanya, secara keseluruhan penularan wabak banyak berlaku di taska iaitu membabitkan 18 kes wabak , diikuti rumah persendirian (lapan), tadika (tiga), dan pusat jagaan kanak-kanak (satu).
"Begitupun, setakat ini belum ada arahan supaya taska ditutup, keadaan sekarang masih terkawal dan rasanya masih belum merebak.
"Kepada pengusaha taska, sama juga seperti COVID-19, (mereka perlu) pantau keadaan pelajar... jika ada simptom, perlu nasihatkan pelajar balik dan kuarantin sementara atau jumpa doktor," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis 'Kick-off' Projek Nyamuk Aedes BerWolbachia di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kempas di sini, pada Rabu.
#HFMD #Johor #wabak aktif #Kanak-kanak