Kes Hasanah tiada kaitan langsung dengan 1MDB - Peguam
Wan Syamsul Amly, Dania Zainuddin
Oktober 25, 2018 14:04 MYT
Oktober 25, 2018 14:04 MYT
Kes membabitkan bekas ketua pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO) Datuk Hasanah Abdul Hamid tiada kaitan langsung dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Menurut peguamnya Datuk Shaharudin Ali, banyak pihak keliru dengan kes anak guamnya itu dan mengaitkannya dengan skandal 1MDB.
“Apa yang jelas dalam kes ini, Hasanah tidak langsung terlibat dengan mana-mana skandal 1MDB. Mungkin ramai orang keliru, ingatkan mungkin ada kena-mengena.
“Tiada kena mengena langsung dengan hutang-hutang 1MDB atau anak syarikat 1MDB,” katanya di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Shaharudin turut berkata, beliau tidak nampak akan ada pertuduhan lain dikenakan terhadap Hasanah selepas anak guamnya itu didakwa dengan satu pertuduhan pecah amanah berjumlah ASD12.1 juta (RM50 juta) hari ini.
Ditanya peluang memenangi kes itu, Shaharudin menegaskan bahawa semangat pasukan peguam bela dan Hasanah sangat tinggi.
“Semangat kami tinggi, semangat Hasanah pun tinggi. Kalau kita dapat ingat tak lama dulu beliau dikaitkan dengan surat Agensi Perisikan Pusat (CIA) Amerika Syarikat.
“Tetapi selepas itu, melompat ke ‘pertuduhan B’. Selepas itu melompat ke ‘siasatan C’. Perkara ini meresahkan saya. Apa pun, saya akan tunggu di mahkamah nanti,” katanya sambil menambah, jumlah pecah amanah yang dikenakan ke atas Hasanah boleh dipersoalkan.