Kes guru didakwa tidak hadir ke kelas tujuh bulan dibicarakan 12 Sept ini

Abdul Hafiz Mustadi
September 3, 2022 08:29 MYT
Tindakan tersebut diambil bagi membela hak pelajar terutama bagi mereka yang tinggal di luar bandar untuk mendapatkan akses pendidikan yang sewajarnya daripada kerajaan.
PENAMPANG: Tindakan mahkamah empat bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taun Gusi Kota Belud membabitkan seorang guru bahasa Inggeris yang didakwa atas ketidakhadiran dalam kelas selama tujuh bulan pada tahun 2015 bakal dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 12 September ini.
Perbicaraan itu pertama kali diadakan selepas pemfailan pertama kes tersebut pada Oktober 2018 oleh salah seorang bekas pelajar Siti Nafirah Siman yang kemudiannya diikuti oleh Rusia Sabdarin, Calvina Angayung, dan Nur Natasha Allisya Hamal pada Disember 2020.
Menurut Siti Nafirah di dalam satu kenyataan media berkata, litigasi tersebut diambil bagi membela hak pelajar terutama bagi mereka yang tinggal di luar bandar untuk mendapatkan akses pendidikan yang sewajarnya daripada kerajaan.
"Saya ingin membuka mata pentadbir sekolah, ibu bapa, guru, dan pelajar.
"Kita mesti mengutamakan pendidikan dan tidak ada yang lebih asas kepada pendidikan berkualiti
melainkan guru masuk kelas mengajar dan mendidik," katanya.
Bagi Rusiah, Nur Natasha Allisya, dan Calvina, mereka bersepakat mengikut jejak langkah langkah Siti Nafirah pada Disember 2020 dengan tujuan yang sama.
"Kes ini untuk kita semua, pelajar yang menderita dan terluka di mana keterangan anda sebagai saksi boleh melindungi masa depan negara kita," menurut kenyataan media bersama yang dikeluarkan itu.
Terdahulu, seorang guru Bahasa Inggeris di Sekolah Menengah Kebangsaan Taun Gusi didakwa tidak hadir ke kelas selama tujuh bulan pada tahun 2015 oleh Siti Nafirah ketika dia masih bergelar pelajar di sekolah tersebut.
Di dalam kes berasingan, Rusiah, Calvina, dan Nur Natasha Allisya mendakwa guru yang sama mengabaikan tanggungjawab sebagai seorang guru dengan jarang masuk ke kelas, masuk lewat, dan keluar lebih awal sebelum kelas tamat walaupun telah diminta oleh pelajar berkenaan untuk hadir dan menyampaikan pelajaran.
Kes bakal dibicarakan di bawah Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993, Akta Pendidikan 1996, Perlembagaan Persekutuan Artikel 5 dan 12, dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di bawah semua artikel berkaitan termasuk hak kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan.
#Guru tidak hadir #guru bahasa Inggeris #SMK Taun Gusi #Kota Belud
;