Kes GISB: Tindakan tegas perlu dibuat dengan cermat, teliti - Pas

Nursyazwani Saiful Sham
September 22, 2024 11:20 MYT
Takiyuddin berharap, siasatan tersebut perlu mengikut undang-undang yang sesuai sama ada membabitkan aspek kepercayaan dan pegangan keagamaan, amalan perniagaan, salah laku seksual, penganiayaan dan perbuatan jenayah. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pas mengalu-alukan siasatan yang telus, terperinci dan profesional ke atas pelbagai dakwaan terhadap Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings Sdn Bhd.
Bagaimanapun, Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berharap, siasatan tersebut perlu mengikut undang-undang yang sesuai sama ada membabitkan aspek kepercayaan dan pegangan keagamaan, amalan perniagaan, salah laku seksual, penganiayaan dan perbuatan jenayah.
Dalam masa sama, Pas menuntut tindakan tegas diambil terhadap GISB dibuat secara cermat dan teliti supaya tidak menghukum ahli yang tidak bersalah.
Ini, jelas beliau, bagi memastikan tidak berlakunya pengabaian hak, ketidakadilan, dwistandard atau tindakan yang berlebihan-lebihan.
"Pas menyokong penuh tindakan tegas diambil ke atas pihak-pihak yang didapati bersalah.
"Bagaimanapun, keghairahan untuk menghukum mereka tidak seharusnya memberi kesan buruk ke atas kumpulan itu secara keseluruhan, terutama sekali ahli-ahlinya yang tidak bersalah atau aspek aktiviti GISB yang sah, patuh undang-undang dan bermanfaat.
"Pas mengikuti rapat perkembangan siasatan terhadap GISB.
"Dalam hal ini, Pas percaya sisi-sisi positif kumpulan ini termasuk jaringan perniagaannya yang luas, hendaklah dipelihara dan dilindungi daripada tindakan terburu-buru dan tidak adil yang mungkin berpunca daripada sentimen melulu, prasangka, persaingan perniagaan atau agenda politik tertentu pihak yang mahu menangguk di air keruh," kata beliau dalam kenyataan yang dikeluarkan, pada Ahad.
#GISB #Global Ikhwan Services and Business #eksploitasi kanak-kanak #PAS
;