Kes GISB: SPRM tidak lihat unsur rasuah dalam siasatan - Azam Baki

Bernama
September 18, 2024 14:01 MYT
Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki bercakap pada sidang media Ops Setting di ibu pejabat SPRM hari ini. - Foto Bernama
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak melihat sebarang unsur rasuah membabitkan siasatan yang sedang dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap rumah amal Global Ikhwan Service and Business Holding (GISB).
Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki berkata PDRM akan meneruskan siasatan tanpa campur tangan SPRM.
"Yang ini (siasatan) kita serahkan pada polis kerana saya tak nampak isu rasuah di sini. Pihak polis akan meneruskan siasatan tanpa campur tangan SPRM," katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada SPRM akan turut menjalankan siasatan membabitkan pengubahan wang haram terhadap GISB.
Pada 11 Sept lepas, PDRM melancarkan Op Global dengan menyelamatkan 402 kanak-kanak dari 20 rumah perlindungan yang mempunyai kaitan dengan syarikat terbabit di sekitar Selangor dan Negeri Sembilan.
Ia bagi membantu siasatan kes sebuah syarikat yang didakwa mengeksploitasi kanak-kanak dan agama.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menitahkan PDRM supaya menjalankan siasatan segera dan menyeluruh berkaitan isu jenayah serta penganiayaan kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISBH.
-- BERNAMA
#GISB #Azam Baki #siasatan polis #unsur rasuah #SPRM
;