Kes GISB: Empat beradik terpisah dengan bapa, mangsa dera diselamatkan

Astro Awani
September 23, 2024 17:57 MYT
Razarudin berkata, salah seorang daripada mereka dipercayai kanak-kanak yang dirotan oleh ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) yang videonya menjadi tular baru-baru ini. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Empat beradik berusia enam hingga 11 tahun yang terpisah daripada bapa sejak 2021 adalah antara kanak-kanak yang diselamatkan polis dalam Ops Global di sebuah rumah di Tapah, Perak pada Sabtu lalu.

Ringkasan AI
  • Empat beradik berusia 6 hingga 11 tahun antara yang diselamatkan polis dalam Ops Global, dengan salah seorangnya dipercayai menjadi mangsa rotan oleh ahli GISB Holdings Sdn Bhd.
  • Seorang kanak-kanak lain yang dipercayai didera juga diselamatkan dan kini berada di bawah jagaan pasukan perubatan untuk pemeriksaan lanjut.
  • Kes disiasat di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, dengan PDRM berjaya menyelamatkan 187 mangsa berusia 5 hingga 18 tahun dalam operasi tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, salah seorang daripada mereka dipercayai kanak-kanak yang dirotan oleh ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISB) yang videonya menjadi tular baru-baru ini.
"Salah seorang kanak-kanak berkenaan dipercayai adalah kanak-kanak yang tular yang dirotan oleh ahli GISB," katanya pada sidang akhbar khas di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur, pada Isnin.
Dalam pada itu, katanya polis turut menyelamatkan seorang kanak-kanak lain yang tular disebabkan dipercayai menjadi mangsa penderaan.
Katanya, kanak-kanak itu ketika ini berada dalam jagaan pasukan perubatan di wad pediatrik sebuah hospital untuk pemeriksaan lanjut.
"Pemeriksaan awal oleh pihak Kementerian Kesihatan mendapati mangsa yang diselamatkan tersebut mengalami kesan penganiayaan dan trauma," katanya.
Beliau berkata, kedua-dua kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Semua suspek yang terlibat telah direman untuk siasatan lanjut," ujarnya.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, secara keseluruhan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menyelamatkan 187 mangsa berusia lima hingga 18 tahun dalam Op Global fasa 4.
"Kesemua mangsa sedang menjalani saringan dengan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Setelah proses saringan kesihatan telah selesai, mangsa akan diserahkan kepada JKM," katanya.
#GISB #Op Global #PDRM #mangsa dera #terkini
;