Kes GISB: 156 lagi ditahan, 187 mangsa bawah umur diselamat – KPN

Firdaus Azil
September 23, 2024 16:55 MYT
Beliau berkata, serbuan di bawah fasa tersebut telah dilakukan di 280 premis yang berkait rapat dengan GISB di Semenanjung Malaysia. - Foto Astro AWANI/Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Fasa keempat Op Global terhadap Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holdings yang bermula pada 21 September lepas, menyaksikan seramai 156 lagi individu telah ditahan, dan 187 lagi mangsa telah berjaya diselamatkan.

Ringkasan AI
  • Penahanan dan Penyelamatan: Fasa keempat Operasi Global terhadap GISB Holdings bermula pada 21 September, menyaksikan 156 individu ditahan dan 187 mangsa diselamatkan.
  • Rampasan dan Pembekuan Aset: Polis merampas pelbagai barangan termasuk risalah, telefon bimbit, komputer, haiwan, kenderaan, dan wang tunai. Pembekuan aset melibatkan 153 akaun bank dan 22 motokar.
  • Siasatan Lanjut: Semua suspek yang ditahan akan direman sehingga 28 September untuk membantu siasatan. Polis juga mempertimbangkan siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dalam satu sidang media khas di ibu negara pada Isnin berkata, kesemua suspek yang ditahan di bawah fasa empat ini akan direman sehingga 28 September depan bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, serbuan di bawah fasa tersebut telah dilakukan di 280 premis yang berkait rapat dengan GISB di Semenanjung Malaysia, dengan 221 daripadanya telah dikosongkan lebih awal, dan polis percaya ahli-ahli di premis itu telah melarikan diri dengan lebih awal.
[TERKINI] Sidang media Ketua Polis Negara
“Buat masa ini Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membuka 11 rumah selamat untuk mangsa yang diselamatkan, pada awal saya beritahu empat, sekarang JKM buka 11 rumah selamat untuk mangsa yang diselamatkan ini.
“Secara umum, kita telah merampas 455 unit naskhah risalah dan logo, 90 telefon bimbit, 16 komputer, 25 ekor haiwan, 13 buah kenderaan, dan kemudian wang tunai ada sejumlah RM904,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Razarudin berkata, tindakan pembekuan di bawah Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) dan penyitaan di bawah Seksyen 45(2) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613)t elah dilakukan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Urus Setia Pejabat KPN, Bukit Aman.
“Jumlah terkini keseluruhan Pembekuan di bawah Seksyen 44(1) AMLATFPUAA 2001 (Akta 613) adalah sebanyak 153 akaun dengan pecahan terdiri daripada 138 akaun dengan jumlah RM882,795.94 dan 15 akaun telah ditutup.
“Manakala sebanyak 22 buah motokar pelbagai jenis bernilai anggaran RM1,872,085.00; dan 14 lot hartanah telah dijalankan tindakan pembekuan,” katanya lagi.
Beliau berkata, pihak polis tidak menolak kemungkinan untuk menjalankan siasatan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), selain siasatan di bawah akta yang telah dimaklumkan sebelum ini.
#GISB #Op Global #Ketua Polis Negara #Razarudin Husain #kanak-kanak diselamatkan
;