Kes gigitan anjing meningkat di Pulau Pinang
Astro Awani
September 23, 2015 08:23 MYT
September 23, 2015 08:23 MYT
Kes gigitan anjing makin meningkat di Pulau Pinang dengan 15 kes baharu dicatatkan sehingga Isnin menjadikan jumlah kes direkodkan meningkat kepada 41.
Bagaimanapun, tiada kes manusia dijangkiti penyakit anjing gila sehingga kini.
Pengarah Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Datuk Dr Zailan Adnan mengesahkan terdapat peningkatan ketara di seluruh negeri itu berbanding 26 kes minggu sebelumnya.
"Gigitan anjing ini berlaku bukan hanya di satu tempat tetapi kami mendapati kesemua daerah ada membuat laporan gigitan anjing termasuk Seberang Perai Utara, Seberang Perai Tengah, Selatan, Timur Laut dan Barat Daya.
"Kami juga sedang memantau semua kes ini. Bagi kes-kes yang datang ke klinik, luka mereka akan dicuci sebaiknya dan kami akan memberi suntikan anti-tetanus dan vaksin anti-rabies," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambah Dr Zailan, lazimnya, tempoh inkubasi virus mengambil masa 30 hingga 60 hari namun bergantung kepada bahagian gigitan.
"Apabila berlaku gigitan anjing yang kita bimbang virus ini akan masuk dalam lapisan kulit dan seterusnya gerak melalui sistem saraf ke otak. Ini akan mengambil masa lama inkubasi apabila mula gigitan sehingga tunjuk tanda awal penyakit.
"Namun sama ada kes mangsa gigitan anjing itu menunjukkan tanda lebih awal atau lambat bergantung kepada bahagian gigitan tersebut. Lagi dekat bahagian digigit dengan otak, lagi cepat tanda-tanda akan ditunjukkan," katanya.
Ditanya mengenai punca berlaku peningkatan mendadak kes rabies baru-baru ini, beliau berkata, ia mungkin disebabkan kesedaran yang semakin meningkat mengenai wabak berkenaan di kalangan orang ramai serta pengamal perubatan.
"Orang ramai di Pulau Pinang semakin sedar mengenai penyakit rabies, jadi mereka yang digigit anjing terus mendapatkan rawatan di klinik-klinik. Kita juga memaklumkan kepada semua pengamal perubatan sama ada klinik kerajaan atau swasta untuk melaporkan semua kes rabies. Akibat kesedaran yang lebih tinggi, kita mendapat lebih banyak notifikasi," katanya.
Dalam pada itu, Dr Zailan menasihati orang ramai yang digigit anjing agar segera bersihkan luka dengan sabun dan air serta mendapatkan rawatan secepat mungkin.
Manakala, pemilik anjing pula dinasihati mendapatkan vaksin anti-rabies bagi anjing-anjing mereka.