Kes gangguan seksual, Ebit Lew tiba di mahkamah Tenom
Alexion Mairin
Disember 20, 2022 10:20 MYT
Disember 20, 2022 10:20 MYT
TENOM: Pendakwah bebas Ebit Lew tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Tenom pada pukul 9.50 pagi tadi untuk perbicaraan kali ketiga berhubung kes perbicaraan gangguan seksual yang dikaitkan dengannya.
Ebit atau nama sebenar Ebit Irawan Ibrahim, 37, dijadual menghadiri prosiding tersebut bermula hari ini sehingga 22 Disember.
Pada 18 Februari lalu didakwa atas 11 pertuduhan termasuk dakwaan mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun di daerah Tenom dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp, antara Mac dan Jun tahun lalu.
Pada September lepas Ebit sekali lagi menghadiri perbicaraan yang berlangsung selama empat hari pada 27 hingga 30 September lalu.
Pada prosiding tersebut tiga saksi dipanggil termasuk pendakwah bebas, Firdaus Wong.
Ebit dituduh melakukan perbuatan itu mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Majistret Nur Asyraf Zolhani sebelum ini mengenakan ikat jamin RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin tempatan terhadap Ebit yang tidak mengaku salah atas 11 pertuduhan berkenaan.