Kes gangguan seksual ADUN Johor, Ketua Polis Negeri adakan sidang media esok
Izlaily Nurul Ain Hussein
Januari 18, 2022 19:15 MYT
Januari 18, 2022 19:15 MYT
JOHOR BAHRU: Ketua Polis Negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat, akan mengadakan sidang media berhubung kes membabitkan dakwaan seorang wanita diganggu secara seksual oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor, esok.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora mengesahkan pihaknya menerima laporan polis itu namun enggan mengulas lanjut, sebaliknya meminta semua pihak menunggu sidang media berkenaan.
"Ya, saya sahkan ada menerima laporan polis dibuat wanita itu. Tetapi, untuk makluman, esok, Ketua Polis Johor akan buat sidang media, jadi saya tak mahu kacau (ulas lanjut)," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan polis menerima laporan dibuat wanita berusia 26 tahun itu di Balai Polis Kota Tinggi pada jam 11.30 pagi semalam.
Laporan polis dibuat wanita yang dipercayai ahli sebuah parti politik itu tular di media sosial sejak semalam.
Sementara itu, semalam juga, ADUN Sedili, Rasman Ithnain yang mendakwa dirinya dikaitkan dengan kes berkenaan, menyangkal sekeras-kerasnya tuduhan dibuat wanita itu.
Rasman menyifatkan tuduhan itu sebagai satu konspirasi politik, fitnah serta cubaan untuk menjatuhkan maruah serta mencalarkan reputasinya selaku wakil rakyat.
Beliau turut menyatakan kesediaan untuk memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang proses siasatan berjalan demi memastikan keadilan dapat ditegakkan.
“Pada jam 2 petang (17 Januari), saya dimaklumkan bahawa terdapat satu laporan polis dibuat terhadap saya oleh seorang individu yang juga Ahli Jawatankuasa Srikandi Bersatu Bahagian Kota Tinggi.
“Saya dengan ini menafikan dengan sekeras-kerasnya tuduhan dalam laporan itu. Ini adalah satu konspirasi politik, fitnah dan satu cubaan untuk menjatuhkan maruah serta mencalarkan reputasi saya selaku seorang wakil rakyat,” katanya dalam kenyataan.