Kes fitnah: Polis akan panggil Najib minggu ini - Huzir
Astro Awani
Oktober 16, 2019 13:00 MYT
Oktober 16, 2019 13:00 MYT
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan diambil keterangan oleh pihak polis dalam minggu ini berhubung isu fitnah yang membabitkan kenyataan 'Nga Kor Ming Super Fans Page' di Facebook yang tular 30 September lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Komisioner Datuk Huzir Mohamed berkata, ia susulan laporan yang dibuat Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming awal Oktober ini dalam kes siasatan terhadap kenyataan yang berbaur menghina Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah itu.
"Kita telah berhubung dan akan panggil minggu ini, minggu ini tinggal tiga hari lagi.
"Sabtu, Ahad pun ada juga, jadi lima hari lagi, biasa kita akan panggil di sini," katanya semasa sidang media harian JSJ di Bukit Aman, pada Rabu.
Huzir menjelaskan, pihaknya juga masih belum selesai merakam keterangan Kor Ming selain memberitahu akan dipanggil semula untuk menyambung percakapan.
Sebelum ini, Huzir dilaporkan berkata, polis akan meneliti dahulu laporan polis dibuat setiausaha sulit kanan kepada Kor Ming terbabit di Ipoh, Perak pada 3 Oktober lalu.
Sebelum ini, polis mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan terhadap pemilik Facebook, ‘Nga Kor Ming Super Fans Page’ dan kes disiasat di bawah seksyen 4(1) Akta Hasutan.
Kor Ming memaklumkan satu laporan bersama bukti akan diserahkan kepada polis selepas mendakwa wujud konspirasi politik jahat yang cuba mencemar nama baiknya dan DAP.
Beliau mendakwa, bahawa kenyataan yang dikongsi Datuk Seri Najib Tun Razak di Facebook, merupakan akaun palsu yang menyamar mewakili dirinya dan DAP.
#akta hasutan
#Bukit Aman
#DAP
#Facebook
#jenayah
#Najib Razak
#Nga Kor Ming
#Perdana Menteri
#polis
#politik
#Sultan Selangor