Kes empat individu bogel disebut semula 19 Mac

Bernama
Januari 20, 2015 18:11 MYT
Keempat individu itu boleh dihukum penjara tiga penjara atau didenda jika disabit kesalahan. - Gambar Fail
Kes empat individu yang didakwa menyertai pesta bogel di Teluk Kampi, Taman Negara Pulau Pinang di Teluk Bahang dekat sini, akan disebut semula pada 19 Mac.
Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit menetapkan tarikh itu selepas peguam V. Parthipan memohon tarikh baharu daripada mahkamah bagi membolehkan pihaknya meneliti rakaman video yang baru diperoleh daripada pihak pendakwaan.
Parthipan yang mewakili seorang daripada tertuduh iaitu Teh Guan Hoon ketika ditemui pemberita di luar mahkamah berkata beliau mahu meneliti rakaman itu terlebih dahulu bagi membolehkan pihaknya membuat tindakan selanjutnya.
Pada 28 Ogos tahun lalu, tiga wanita iaitu Chew Tok Hwa, 57; Chan Chia Wen, 27; Teh,37; serta seorang lelaki, Kong Meng Leong, 38; mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan mendatangkan kegusaran kepada orang awam kerana berbogel di Pantai Teluk Kampi antara pukul 3 dan 6 petang, 30 Mei lepas.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 294 (a) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 294 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara tiga bulan atau denda atau kedua-duanya.
Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu bersama-sama enam lagi individu - Loh Kok Hong, 41; Mu Wai Peng, 34; Justin Ang Ji Keng, 24; Yam Kam Hoong, 54; Lionel Loo Joo Heng, 52; dan R. Nanda Kumar, 40.
Bagaimanapun enam individu terbabit mengaku bersalah dan masing-masing dijatuhi hukuman denda RM5,000 dan penjara sebulan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Edward Chan.
#disebut semula #empat #individu #Nurul Rasyidah Mohd Akit #pesta bogel #Teluk Kampi
;