Kes Eda Ezrin: Pendakwa raya belum kemuka rayuan

Sinar Harian
Mac 17, 2025 17:30 MYT
Eda Ezrin, suami serta empat rakannya berada di Penjara Wilayah Narathiwat bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu. -Sinar Harian
KOTA BHARU: Bapa kepada penyanyi terkenal Kelantan, Eda Ezrin atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, 30, iaitu Wan Ismail Wan Yusof, 52, memaklumkan bahawa pihak pendakwa raya masih belum mengemukakan rayuan terhadap keputusan pembebasan anaknya, suami serta empat lagi rakan mereka setakat ini.

Ringkasan AI
  • Eda Ezrin, suami, dan empat rakannya berada di Penjara Wilayah Narathiwat sementara menunggu kemungkinan rayuan oleh pendakwa raya terhadap keputusan pembebasan mereka.
  • Keluarga Eda Ezrin berharap pendakwa raya tidak mengemukakan rayuan agar Eda Ezrin dapat dibebaskan lebih awal.
  • Eda Ezrin dan yang lain dibebaskan daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda, tetapi masih perlu menunggu keputusan rayuan oleh pendakwa raya.

"Hasil maklumat yang diterima semasa lawatan, Eda Ezrin memberitahu bahawa pendakwa raya masih belum berbuat demikian.
"Perkara itu dikongsikan oleh Eda Ezrin semasa ibu dan adiknya melawatnya di Penjara Wilayah Narathiwat pada Khamis lalu," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Menurut Wan Ismail, pihak keluarga berharap agar pendakwa raya tidak mengemukakan rayuan dan berdoa semoga ada keajaiban berlaku supaya Eda Ezrin dapat dibebaskan lebih awal.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan bahawa Eda Ezrin bersama suami dan empat lagi rakan mereka terlepas daripada hukuman penjara selepas dibebaskan daripada tuduhan memiliki 6,059 biji pil kuda yang ditemukan di dalam sebuah bilik hotel di Golok pada 1 November lalu.
Keputusan itu dibuat oleh dua panel hakim selepas meneliti semua keterangan saksi pendakwaan dalam prosiding sebutan semula kes yang berlangsung pada 11, 13 dan 14 Februari lalu.
Bagaimanapun, meskipun dibebaskan daripada tuduhan tersebut, Eda Ezrin, suami serta empat rakannya tetap perlu kembali ke Penjara Wilayah Narathiwat bagi membolehkan pihak pendakwaan mengemukakan rayuan terhadap keputusan mahkamah itu.
Peguam bela yang mewakili Eda Ezrin, Sufian Abdul Aziz, berkata pendakwa raya boleh mengemukakan rayuan dalam tempoh satu hingga empat bulan. -Sinar Harian
#Eda Ezrin #Penjara Wilayah Narathiwat #rayuan oleh pendakwa raya #Wan Ismail Wan Yusof
;