Kes Ebit Lew: Tiada perbincangan dibuat bersama Firdaus Wong - Pengadu

Sinar Harian
Ogos 26, 2024 18:16 MYT
Pengadu dalam kes Ebit Lew (kanan) memberitahu bahawa tiada perbincangan dilakukan bersama Firdaus Wong (kiri) selepas laporan polis dibuat. - Gambar fail
TENOM: Pengadu dalam kes Ebit Lew memberitahu mahkamah bahawa tiada perbincangan dilakukan bersama Firdaus Wong selepas laporan polis dibuat di Bukit Aman mengenai kes tersebut.
Pengadu yang juga saksi kesembilan kes tersebut memberitahu mahkamah mengenai perkara itu dalam sesi pemeriksaan balas oleh peguam, Datuk Ram Singh pada perbicaraan di Mahkamah Tenom, di sini pada Isnin.
Dalam pemeriksaan balas tersebut, pengadu diminta menjelaskan kenapa dia berjumpa dengan Akhi Fairuz dan Firdaus Wong selepas laporan polis dibuat.
"Akhi Fairuz sebagai saksi sebab saya ada mesej beliau tentang gangguan daripada Ebit Lew selepas saya nampak hantaran tentang gangguan seksual.
"Firdaus Wong pula, dia yang datang berjumpa dengan kami selepas kami membuat laporan. Itupun tidak sampai sejam," katanya.
Katanya lagi, Firdaus Wong hanya datang untuk memberinya kata-kata semangat sahaja.
"Dia lebih banyak bercerita dengan suami saya," katanya.
Pengadu kemudian diminta supaya menjelaskan kenyataannya mengenai 'kata-kata semangat' yang dinyatakan di mahkamah.
"Saya mangsa yang sudah terbagi gambar, jadi dia bagi semangat untuk saya dan suami," jelasnya.
Untuk rekod, Firdaus Wong atau Firdaus Wong Hai Hung, 41, merupakan saksi ketiga manakala Akhi Fairuz atau Mohd Fairuz Abu, 39, merupakan saksi pertama dalam perbicaraan kes gangguan seksual Ebit Lew.
Ebit Lew atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Perbicaraan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad, Zahida Zakaria dan Analia Kamaruddin.
Ebit Lew diwakili oleh Ram, Kamarudin Mohmad Chinki, Mohd Syarulnizam Salleh Keruak dan Prem Elmer Ganasan manakala Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani. -- Sinar Harian
#Ebit Lew #gangguan seksual #Tenom #Firdaus Wong