Kes Ebit Lew: Suara lantang pengadu bertukar tangisan
Sinar Harian
Februari 14, 2024 15:25 MYT
Februari 14, 2024 15:25 MYT
TENOM: Suara lantang pengadu ketika membaca perbualannya dengan Ebit Lew menerusi tangkap layar aplikasi WhatsApp semakin tenggelam sebelum bertukar menjadi tangisan dalam prosiding yang berlangsung di Mahkamah Majistret Tenom pada Rabu.
Pengadu yang merupakan saksi pendakwaan kesembilan bagi kes pendakwah terkenal itu diminta oleh Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad untuk membaca satu persatu daripada 436 gambar laporan forensik dalam cakera padat.
Salah satu gambar tangkap layar yang dibaca pengadu wanita itu dalam sesi pemeriksaan utama ialah nasihatnya kepada Ebit Lew supaya mereka melakukan taubat nasuha.
"Buat taubat nasuha awak, sama-sama kita. Insya-ALLAH saya akan jaga aib ini. Sebenarnya hari ini itu yang saya nak WhatsApp, next week (minggu depan) dah puasa.
"Awak baik, anggap ini ujian. Dengan saya tak apa, jangan buat lagi dengan orang, bahaya awak nama awak terkenal.
"Maaf saya cakap-cakap macam ini. Lagi pun masa yang sangat sesuai, dengan kuarantin seminggu," katanya bagi membaca teks yang terkandung dalam tangkap layar tersebut.
Sepanjang membaca teks tersebut, suara pengadu mulai perlahan dan berganti dengan perasaan sebak lalu menangis tersedu-sedu.
Bagaimanapun, pengadu meneruskan bacaan teks tersebut bahawa dia akan simpan aib tersebut memandangkan mereka hanya sebagai manusia biasa seperti yang dikatakan pendakwah itu.
"Lagi pun saya isteri orang, tak apalah ujian hidup saya dengan ada suami macam ini, saya sabar saja demi anak.
"Saya nak kawan dengan awak sebenarnya sebab saya suka nasihat-nasihat awak, tapi saya salah.
"Salah maksudnya, saya pun dah gagal dengan ujian ini, macam tak sedap badan pula hari ini, sakit kepala dan tekak," katanya sambil mengelap air mata.
Sesi perbicaraan kemudian ditanggungkan seketika selepas Nor Azizah memohon bahawa saksi perlu menenangkan dirinya.
Ketika perbicaraan disambung semula, Nor Azizah meminta pengadu menjelaskan maksud mesej tangkap layar yang dibacanya di mahkamah itu.
"Saya betul-betul ikhlas untuk memasihatkan Ebit Lew supaya hentikan apa yang dia buat itu sebab itu kalau tengok dari awal saya tidak blok beliau walaupun saya sudah terpedaya dengan kata-kata beliau," katanya.
Selain itu, beberapa tangkap layar perbualan tersebut juga turut mendedahkan Ebit Lew mengajak pengadu melakukan hubungan intim dan bertukar pasangan suami isteri serta perkataan berunsur lucah.
Nor Azizah kemudian meminta pengadu menjelaskan maksud ayat dalam salah satu gambar tangkap layar iaitu 'dia tak pernah nak lepaskan saya'.
"Yang saya ingat teks itu adalah berkenaan Ebit untuk bertukar pasangan dan saya ada bagitahu 'tak akan' dan suami pun tak akan lepaskan saya," katanya.
Turut didedahkan dalam tangkap layar itu ada beberapa mesej dipadam oleh Ebit Lew di mana pengadu mendakwa bahawa mesej itu dipadam kerana pendakwah itu memarahinya.
Pengadu berkata demikian ketika diminta merujuk kepada gambar tangkap layar yang seterusnya menunjukkan mesej telah dipadam.
"Seingat saya, dia tengah marah. Apa-apa mesej yang dia marah dia akan padam 'for everyone," katanya.
Diminta menjelaskan secara spesifik jika pengadu ingat mesej apa yang telah dipadamkan itu, dia memaklumkan ia mesej Ebit Lew mengajaknya untuk membuat panggilan video.
Sebelum itu, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim, 38, berhadapan dengan 11 pertuduhan membuat hantaran gambar dan perkataan lucah bermaksud mengaibkan kehormatan mangsa melalui aplikasi WhatsApp antara Mac hingga Jun 2021 mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Perbicaraan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah dan Analia Kamaruddin manakala Ebit diwakili barisan peguamnya, Datuk Ram Singh, Timothy Daut dan Nizam Salleh Keruak dan Majistret ialah Nur Asyraf Zolhani. - Sinar Harian