Kes dua wanita hilang, polis minta bantuan orang awam

Nazialita Geynna Maharan
November 16, 2015 07:51 MYT
Hamisah (gambar) dilaporkan hilang pada 12 November lepas dan usaha mencarinya masih menemui jalan buntu kerana tiada sebarang petunjuk ditemui. - Gambar PDRM
Polis meminta orang awam yang terjumpa atau terserempak dengan seorang wanita yang dilaporkan hilang, Hamisah Shahudin, 57, supaya segera menghubungi pihak berkuasa bagi memaklumkan perkara tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd Haq ketika dihubungi Astro AWANI berkata wanita tersebut masih gagal dikesan sehingga kini.
Menurutnya, Hamisah dilaporkan hilang pada 12 November lepas dan usaha mencarinya masih menemui jalan buntu kerana tiada sebarang petunjuk ditemui.
Jelas Ahmad Termizi, beliau tidak menolak kemungkinan wanita itu berada di rumah saudara atau kenalannya yang mungkin tidak tahu mengenai perihal aduan kehilangannya.
"Bagaimanapun, kita tidak rasa wanita itu terjun ke dalam sungai kerana tiada saksi nampak walaupun rumahnya berdekatan dengan sungai.
"Ada juga maklumat yang mengatakan ternampak seorang wanita berjalan di Kampung Semat namun kita tidak pasti sama ada ia adalah wanita tersebut.
"Kita minta sekiranya ada ternampak wanita seperti yang digambarkan, segeralah laporkan kepada anggota polis atau penduduk kampung," katanya lagi.
Tambahnya meskipun tiada petunjuk baru, operasi mencari wanita tersebut masih diteruskan dan turut dibantu penduduk kampung dan beberapa agensi lain.
"Jika ada sebarang maklumat berkaitan wanita tersebut, orang awam boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Sarjan Anwar Che Amat di talian 012-5950175 atau hubungi IPD Kuala Kangsar di talian 05-7762222," katanya.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Termizi memaklumkan kes seorang wanita terjun ke dalam Sungai Perak pada awal bulan lalu masih disiasat pihaknya.
Menurutnya, meskipun operasi pencarian telah dihentikan namun siasatan terhadap kes tersebut masih berjalan sehingga kini.
"Setakat ini kita belum menerima sebarang petunjuk berkenaan wanita terjun ke dalam Sungai Perak itu. Jika kita ada maklumat, kita akan terus lakukan siasatan lanjut.
"Selagi tidak jumpa, fail kes orang hilang sebegini tidak akan ditutup. Bila sudah jumpa atau mereka pulang ke rumah, barulah kes boleh ditutup.
"Orang ramai yang ada maklumat berhubung wanita terjun ke dalam Sungai Perak itu bolehlah menghubungi polis bagi membantu siasatan," katanya.
#Ahmad Termizi Abd Haq #Hamisah Shahudin #Kuala Lumpur #PDRM #polis
;