Kes dua pelajar muat naik poster provokasi berbeza dengan empat lelaki bertopeng - KPN
Hakim Rahman
Februari 18, 2015 19:28 MYT
Februari 18, 2015 19:28 MYT
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan kes membabitkan dua pelajar yang berhasrat membakar mercun di hadapan Mahkamah di seluruh negara adalah kes yang berbeza dengan empat lelaki bertopeng yang juga mengugut untuk membakar mercun di hadapan mahkamah kerana tidak percaya dengan sistem keadilan negara.
Polis sebelum ini menahan dua orang pelajar berusia awal 20-an kerana dipercayai menaikkan poster berbau provokasi untuk membakar mercun di hadapan setiap Mahkamah seluruh negara pada malam sambutan Tahun Baru Cina.
Pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Selangor (Unisel) itu merancang berbuat demikian pada pukul 11.40 malam ini.
"Jadi kita tahan mereka di satu lokasi di Kuala Lumpur pada petang semalam (Selasa) dan mereka disiasat dibawah Akta Hasutan 1948.
"Pihak Polis akan mengambil langkah berjaga-jaga malam ini," katanya.
Tambah Khalid, pihaknya tidak akan berdiam diri dan akan mengambil tindakan sewajarnya kepada pihak yang cuba mengadakan sebarang perhimpunan haram bagi membantah keputusan mahkamah memenjarakan Datuk Seri Anwar Ibrahim, tindakan yang dianggap cuba menganggu gugat ketenteraman awam.
“Apabila keputusan tidak memihak kepada perayu (Anwar), mereka (penyokong) menyalahkan mahkamah, menyalahkan kerajaan.
"Sebelum ini keputusan memihak kepada Anwar, kenapa tiada pihak yang mempertikaikan keputusan mahkamah?” katanya.
Khalid ditemui pada sidang media selepas menghadiri Kempen Balik Kampung di Plaza Tol Jalan Duta di sini.
Katanya lagi, penyokong Anwar sewajarnya menerima keputusan mahkamah dengan hati terbuka dan bukannya cuba mengadakan sebarang perhimpunan haram menuntut Ketua Pembangkang itu dibebaskan.
Dalam perkembangan berasingan Khalid berkata pihaknya sedang mengesan pemilik akaun YouTube “ISIS Malaysia 69” bagi membantu siasatan berkaitan video yang cuba menghasut orang ramai mengadakan bantahan terhadap sistem keadilan di Mahkamah negara ini.
Dalam video berdurasi kira-kira seminit itu, empat individu berpakaian serba hitam dan menutup muka memberi amaran akan mengadakan bantahan terhadap sistem keadilan di mahkamah dengan membakar mercun pada 18 Februari pada pukul 11.30 malam.