Kes disyaki cacar monyet sebenarnya cacar air, HFMD - Khairy

Astro Awani
Mei 31, 2022 04:15 MYT
Menerusi perkongsian di Twitter, Khairy menjelaskan berdasarkan hasil laporan makmal, dua daripada tiga kes yang disyaki itu adalah cacar air. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Selasa mengesahkan kes yang disyaki jangkitan cacar monyet di negara ini adalah tidak benar.
Menerusi perkongsian di Twitter, Khairy menjelaskan berdasarkan hasil laporan makmal, dua daripada tiga kes yang disyaki itu adalah cacar air.
Manakala satu lagi adalah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
"Kemas kini tentang cacar monyet: Kita sudah dapat keputusan makmal daripada tiga kes disyaki. Dua disahkan cacar air. Satu HFMD," tulis Khairy dalam hantaran terkini di akaun Twitter.

Quick update on monkeypox: We have gotten back lab results from three suspected cases. Two confirmed as chickenpox. One HFMD.

— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) May 31, 2022
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Sebelum ini, Khairy menegaskan Malaysia sudah bersedia menghadapi kemungkinan kemasukan kes cacar monyet dengan pelan strategik dan langkah kesihatan sewajarnya.
Ini termasuklah tatacara pengesanan, ujian sampel, siasatan, pengurusan kes serta kontak rapat serta langkah pencegahan dan kawalan bermula di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) negara.
Pada masa sama, ciri baharu MySejahtera akan mula digunakan membabitkan pengembara dari negara endemik cacar monyet dan negara bukan endemik, di mana mereka akan menerima pop-up amaran kesihatan.
Pengembara ini akan diingatkan untuk memantau simptom berkaitan selama 21 hari kerana tempoh inkubasi cacar monyet adalah sekitar tiga minggu.
Beliau bagaimanapun menegaskan KKM belum mempunyai perancangan untuk melaksanakan program imunisasi cacar monyet secara besar-besaran seperti program vaksinasi COVID-19, sebaliknya hanya imunisasi bersasar untuk kontak rapat serta petugas kesihatan.
#cacar monyet #Khairy Jamaluddin #Cacar air #HFMD