Kes dera: Program pemutihan besar-besaran di Flat Paya Nahu - Ahmad Bashah

Bernama
November 27, 2016 18:16 MYT
Ibu kepada mangsa itu dilaporkan tinggal bersama teman lelakinya dan dua anaknya di sebuah bilik di rumah berkenaan, bersama tiga penghuni lelaki yang lain. - Foto Bernama
Kerajaan negeri Kedah mengambil langkah drastik menangani masalah sosial dan jenayah di kawasan perumahan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Flat Paya Nahu dekat sini menerusi program pemutihan secara besar-besaran dalam tempoh terdekat.
Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, melalui program itu tumpuan utama ialah terhadap penagih dadah yang berada di situ, mereka yang mendiami rumah secara tidak sah serta membuat penyambungan elektrik dan air secara haram.
"Kita akan kenal pasti semula pemilik-pemilik rumah memandangkan ada rumah kosong yang diduduki secara tidak sah, tindakan akan diambil jika didapati ia ditukar milik atau dicerobohi.
"Kita juga akan bekerjasama dengan TNB (Tenaga Nasional Berhad) dan SADA (Syarikat Air Darul Aman) untuk mengambil tindakan sekiranya ada penghuni yang membuat penyambungan secara haram," katanya.
BACA: Mayat reput: Dua suspek kes dera di Flat Paya Nahu direman tujuh hari
BACA: Maut didera: Ibu lihat sendiri anak dibungkus, diletak dalam tong ikan - Jiran
BACA: Kanak-kanak 2 tahun maut didera, mayat disimpan hingga reput
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang menjadi mangsa dera teman lelaki ibunya, di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau turut meluangkan masa meninjau kawasan perumahan Flat Paya Nahu, termasuklah rumah yang menjadi lokasi kes dera dan penemuan mayat seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun, Khamis lalu.
Ibu kepada mangsa itu dilaporkan tinggal bersama teman lelakinya dan dua anaknya di sebuah bilik di rumah berkenaan, bersama tiga penghuni lelaki yang lain.
Flat Paya Nahu menempatkan 8,000 isi rumah terdiri daripada dua fasa, dengan fasa pertama dibina pada 1990 manakala fasa kedua pada 2004.
Kes penderaan tragis itu, kata Ahmad Bashah, yang amat mendukacitakan semua pihak mendorong kerajaan negeri untuk memutuskan lima langkah segera untuk tindakan pihak berwajib antaranya melalui pewujudan pondok Polis tetap dengan rondaan berkala.
"Kedua, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mengenal pasti keluarga yang perlu dibantu, dan ketiga, Jabatan Agama Islam Negeri Kedah diminta mengadakan program peningkatan kesedaran kerohanian.
"Keempat, bekerjasama dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dalam menangani unsur ketagihan dadah, dan kelima, penganjuran aktiviti kemasyarakatan dari semasa ke semasa," katanya.
Dalam pada itu, mengulas mengenai perkembangan kesihatan kanak-kanak malang yang masih dalam proses rawatan dan pemulihan itu, Ahmad Bashah berkata, mangsa dilihat semakin pulih dan boleh tersenyum, namun orang ramai masih tidak dibenarkan melawat.
"Masih ada luka namun tiada pendarahan atau kecederaan dalaman. JKM akan menyediakan sesi kaunseling, dan hak penjagaan mungkin akan diserahkan kepada neneknya di Sungai Lalang, Sungai Petani," katanya. -- Bernama
#Ahmad Bashah Md Hanipah #bunuh budak #dera Sungai Petani #Jabatan Kebajikan Masyarakat #jkm #mayat reput #Menteri Besar Kedah
;