Kes dera pembantu rumah: Menteri arah siasatan segera
Umavathi Ramayah
September 2, 2022 18:37 MYT
September 2, 2022 18:37 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia telah mengarahkan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia untuk menyiasat kes penderaan membabitkan seorang pembantu rumah warga Indonesia.
Menterinya, Datuk Seri M Saravanan memberitahu, kerajaan tidak akan melindungi identiti mana-mana majikan yang didapati bertindak di luar batas kemanusiaan meskipun ianya masih di dalam peringkat siasatan.
Katanya, tindakan tegas akan diambil sekiranya majikan didapati gagal mematuhi perundangan perburuhan termasuk perbuatan yang bercanggah dengan elemen-elemen buruh paksa.
"Kerajaan Malaysia tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang bentuk kekerasan dan penindasan terhadap mana-mana pekerja termasuk warga asing," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Berdasarkan siasatan Saravanan memberitahu, mangsa tidak dibayar gaji oleh majikannya sejak mula bekerja dari tahun 2019 dengan nilai tunggakan hampir RM32,000.
Beliau memberitahu, majikan dalam kes itu adalah pasangan suami isteri yang menetap di Batu Caves, Selangor.
Menurutnya, insiden seperti itu perlu diberikan perhatian serius kerana ia menjejaskan imej negara.
"Oleh itu, saya ingin mengingatkan para majikan untuk tidak bersikap dan bertindak di luar perikemanusiaan terhadap pekerja mereka," ujarnya.