Kes dera: Pasangan suami isteri direman tujuh hari

Abd Razak Mohd Ali
Mei 16, 2022 11:50 MYT
Pasangan suami isteri yang ditahan berkaitan kes dera kanak-kanak perempuan berumur lapan tahun, dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ipoh hari ini. - Foto Astro AWANI.
IPOH: Pasangan suami isteri direman tujuh hari di Mahkamah Majistret di sini hari ini, bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang kanak-kanak perempuan yang disyaki didera.
Perintah reman bermula hari ini itu dikeluarkan Majistret Anis Hanini Abdullah selepas mendapat permohonan daripada pihak polis.
Semalam, polis menahan kedua-dua individu itu bagi membantu siasatan kes kematian seorang kanak-kanak yang disyaki didera.
Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pasangan itu adalah ibu dan bapa saudara yang merupakan penjaga mangsa.
Menurutnya, penahanan mereka yang berumur 40 tahun itu dibuat ekoran satu laporan polis oleh pegawai perubatan yang bertugas di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh, kira-kira jam 3.14 pagi semalam.
Berdasarkan laporan itu, katanya, pihak hospital menerima seorang pesakit kanak-kanak perempuan Melayu berusia lapan tahun yang dibawa ambulans dan disahkan meninggal dunia kira-kira jam 1.45 pagi.
Katanya, pemeriksaan ke atas mayat mendapati terdapat kesan-kesan cedera, disyaki akibat didera.
Bedah siasat yang dijalankan pakar patologi Jabatan Forensik HRPB mendapati, punca kematian adalah ‘multiple blunt injury’.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Kes Dera | Kanak-kanak meninggal dunia disyaki didera
#reman #dera #mahkamah majistret ipoh #kes bunuh
;