Kes dera kanak-kanak: 11 individu dipanggil beri keterangan

Astro Awani
Julai 24, 2022 18:17 MYT
Mohd Zaid Hassan berkata, setakat ini 11 saksi telah dipanggil bagi merekodkan keterangan. - Gambar ihsan pembaca
KAJANG: Polis telah merakam keterangan 11 individu berhubung siasatan kes dera melibatkan seorang kanak-kanak perempuan empat tahun di sebuah rumah di Beranang, di sini pada Isnin lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kes tersebut.
"Seramai 11 individu telah dirakam keterangan setakat ini, perkara lain masih dalam siasatan," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Baru-baru ini, tular video berdurasi 27 saat memaparkan seorang wanita yang dipercayai ibu angkat kepada kanak-kanak berusia empat tahun tersebut memukul anak angkatnya itu menggunakan kayu penyapu hanya kerana mangsa enggan makan nasi.
Susulan itu, polis menahan seorang wanita tempatan dan suaminya, warga Singapura dalam lingkungan 28 hingga 30an.
BACA: Pasangan suami isteri ditahan disyaki dera kanak-kanak perempuan
Pasangan itu direman tujuh hari sehingga 28 Julai ini untuk disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001.
Difahamkan rumah suspek yang terletak di sebuah kawasan kediaman mewah itu telah disita polis.
Mangsa yang sering dipukul dengan penyangkut baju, batang penyapu dan dicucuh dengan pemetik api itu merupakan anak angkat kepada pasangan itu.
Tular | Didera hanya kerana tidak gemar makan nasi
Mangsa diserahkan kepada suspek untuk dijaga sejak April 2022 kerana ibu kandungnya tidak mampu menjaganya.
Mangsa merupakan anak kepada warganegara Indonesia, yang mana kelahirannya tidak didaftarkan dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri.
#ditahan reman #dera kanak-kanak #Anak angkat #Polis Diraja Malaysia #Beranang
;