Kes dera: Ibu kandung dihalang berjumpa Nur Zuliana
Muhafandi Muhamad
Julai 1, 2015 22:20 MYT
Julai 1, 2015 22:20 MYT
Ibu kandung kepada adik Nur Zuliana Zaara, 5 tahun, mangsa dera memaklumkan beliau bukannya tidak berusaha untuk menemui anaknya itu sebelum ini namun dihalang oleh bekas suaminya.
Menurut Sana Abdul Malek, setiap kali meminta untuk berjumpa dengan anaknya, bekas suaminya hanya memaklumkan bahawa anaknya sihat dan tidak perlu berjumpa.
Namun sebagai ibu, hatinya tidak sedap apabila terdengar jiran serta rakannya memaklumkan anaknya di pukul.
Sana juga tidak percaya anaknya dipukul kerana, Nur Zuliana tinggal bersama ayahnya.
Selama setahun beliau tidak menemui Nur Zuliana, sejak anaknya itu tinggal bersama bekas suami dan ibu tirinya dua tahun lalu.
“Yaya duduk dengan mereka dua tahun, saya tidak berjumpa dengan anak saya selama setahun. Saya pernah cuba telefon ayahnya namun pelbagai alasan diberinya untuk tidak berjumpa dengan anak saya. Apabila saya tengok keadaan anak saya, terus saya hantar ke hospital Golok kerana dekat walaupun saya warga Malaysia," katanya.
Sana tidak mahu masyarakat menyalahkannya atas apa yang berlaku kepada Nur zuliana.
Namun Sana bersyukur keadaan anaknya bertambah baik dan mula bercakap.
Sana tidak bertanya Nur Zuliana tentang apa yang berlaku kerana bimbang emosi anaknya itu terganggu.
Nur Zuliana kini telah dibenarkan untuk makan selepas menjalani pembedahan dua hari lalu.
Kesihatan kanak-kanak itu juga bertambah baik dan kemungkinan dibenarkan pulang untuk menyambut aidilfitri di rumah mereka.