Kes dera bayi: Pengasuh taska direman empat hari bantu siasatan
Adie Sufian Zulkefli
Januari 13, 2016 17:08 MYT
Januari 13, 2016 17:08 MYT
Seorang pengasuh wanita sebuah taska ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan kes penderaan bayi lelaki berusia tiga bulan.
Perintah reman dikeluarkan majistret, Mohd Khairul Hafizuddin Ramli.
Wanita berusia 37 tahun itu ditahan kira-kira jam 3 petang di Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Komuniti, Taman Bunga Raya, dekat sini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-dua sekali.
Bayi yang cedera itu dirujuk ke unit rawatan rapi pediatrik, Hospital Sultanah Bahiyah kira-kira 2.40 petang Isnin lalu.
Pemeriksaan mendapati bayi berkenaan dalam keadaan lemah serta terdapat kesan lebam pada dagu kiri dan dikhuatiri mengalami pendarahan dalam kepala.