Kes dera bayi: Mangsa disahkan alami pendarahan di bahagian selaput otak

Adie Sufian Zulkefli
Januari 13, 2016 19:57 MYT
Bayi berkenaan yang masih tidak sedarkan diri dipantau rapi oleh pakar pediatrik dan pakar bedah neuro bagi memastikan keadaannya stabil.
Bayi lelaki berusia tiga bulan yang dipercayai didera pengasuhnya di sebuah taman asuhan kanak-kanak di sini pada Isnin disahkan mengalami pendarahan di bahagian selaput otak.
Perkara itu disahkan Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail apabila imbasan CT (CT Scan) dilakukan terhadap bayi berkenaan hari ini.
Sehubungan itu, bayi yang masih tidak sedarkan diri itu dipantau rapi beberapa pakar pediatrik dan pakar bedah neuro bagi memastikan keadaannya stabil.
BACA: Kes dera bayi: Pengasuh taska direman empat hari bantu siasatan
BACA: Kes dera bayi: Ibu bapa mangsa cadang ambil tindakan undang-undang
Jelas beliau, doktor pakar yang merawat bayi berkenaan masih menjalankan siasatan untuk mengenal pasti punca sebenar pendarahan tersebut dan mangsa dimasukkan ke wad penjagaan rapi kanak-kanak Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Bagaimanapun, Dr Norhizan berkata, keadaan bayi itu agak stabil hari ini berbanding ketika dimasukkan ke wad, namun masih dikategorikan dalam keadaan kritikal.
Dalam kejadian Isnin lepas, bayi berusia tiga bulan itu cedera selepas dipercayai didera oleh pengasuh di taska berkenaan sebelum dirujuk ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik HSB kira-kira jam 2.40 petang.
Ketika bapa bayi datang menjemput anak bongsunya itu, mangsa berada dalam keadaan lemah serta terdapat kesan lebam pada dagu kiri dan kepala.
#bayi lelaki #CT Scan #Jitra #Norhizan Ismail #pediatrik #pengasuh #taman asuhan #taska
;