Kes denggi meningkat pada ME02, dua kematian dilaporkan

Bernama
Januari 22, 2024 23:39 MYT
Dr Muhammad Radzi berkata sepanjang tempoh itu, dua kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan. - Gambar hiasan/Pixabay
PUTRAJAYA: Jumlah kes demam denggi meningkat kepada 3,525 kes pada Minggu Epidemiologi ke-02 (ME02) 2024 iaitu bagi tempoh 7 Jan 2024 hingga 13 Jan 2024 berbanding 3, 181 kes pada minggu sebelumnya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata sepanjang tempoh itu, dua kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan.
Dari segi bilangan lokalilti hotspot, beliau berkata jumlahnya meningkat kepada 136 berbanding 130 minggu sebelumnya, dengan jumlah tertinggi dicatatkan di Selangor sebanyak 106 lokaliti, diikuti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (17), Perak (5) dan Negeri Sembilan (empat).
Pulau Pinang dan Sabah masing-masing dua lokaliti.
Bagi survelan chikungunya, Dr Muhammad Radzi berkata tiada kes direkodkan pada ME02 dan hanya satu kes dilaporkan setakat ini bagi tahun ini dengan tiada wabak chikungunya dilaporkan.
Sementara itu bagi survelan zika, beliau berkata sebanyak 50 sampel darah telah diambil dan kesemua hasil saringan adalah negatif.
-- BERNAMA
#wabak chikungunya #demam denggi #lokalilti hotspot #sampel darah
;