Kes denggi meningkat di enam negeri

Bernama
Januari 29, 2017 13:00 MYT
DR NOOR HISHAM: Kes demam denggi mencatatkan peningkatan di enam negeri iaitu Selangor, Perak, Kedah, Pahang, Pulau Pinang dan Kelantan. - Gambar fail
Kes demam denggi mencatatkan peningkatan di enam negeri iaitu Selangor, Perak, Kedah, Pahang, Pulau Pinang dan Kelantan pada minggu ketiga tahun ini.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata bagi tempoh 15 hingga 21 Jan, sebanyak 2,053 kes dilaporkan di kesemua negeri itu dengan peningkatan sebanyak 177 kes (9.43 peratus) berbanding 1,876 kes pada minggu sebelumnya (8 hingga 14 Jan).
Katanya, daripada jumlah itu, enam kematian dilaporkan pada minggu ketiga tahun ini, menjadikan jumlah kumulatif kematian di seluruh negara sebanyak 13 kes dalam tempoh tiga minggu pertama tahun ini berbanding 23 dalam tempoh sama tahun lepas.
"Jumlah kumulatif kes deman denggi dari 1 hingga 21 Jan ini adalah 5,592 kes, penurunan 46.7 peratus (4,890 kes) berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu sebanyak 10,482 kes," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
BACA: Kes denggi catat trend peningkatan pada minggu ke-49 - KP Kesihatan
BACA: Lebih 90,000 kes denggi dilaporkan di seluruh negara sehingga November - Dr Hilmi
Dr Noor Hisham berkata cuaca yang tidak menentu pada masa sekarang boleh meningkatkan lagi kadar pembiakan Aedes jika takungan-takungan air dibiarkan tanpa diperiksa dan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.
"Kawasan tempat kediaman pesakityang meninggal itu adalah merupakan sama ada kawasan wabak atau kawasan yang mempunyai kadar pembiakan yang tinggi," katanya.
Mengenai situasi jangkitan virus Zika, katanya, berdasarkan laporan terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 20 Jan lepas, jangkitan yangb turut dibawa oleh nyamuk Aedes dilaporkan di 76 buah negara.
Di Malaysia, bilangan kes positif Zika yang dilaporkan dari 1 Sept sehingga 31 Dis lepas adalah sebanyak lapan, katanya.
Menurutnya, pemantauan Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dari 1 hingga 21 Jan lepas, mendapati hasil ujian 97 sampel darah dan air kencing daripada pesakit, yang menunjukkan simptom virus Zika, adalah negatif.
-- BERNAMA
#aedes #Dr. HIlmi Yahya #Kementerian Kesihatan #kes denggi #rawatan kesihatan