Kes denggi di Kelantan meningkat 225 peratus - Dr Zaini

Bernama
Ogos 17, 2023 17:04 MYT
Sebanyak 1,514 kes demam denggi dicatatkan di Kelantan bermula Januari hingga 12 Ogos tahun ini, iaitu peningkatan 225 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas. -Gambar hiasan
KOTA BHARU: Sebanyak 1,514 kes demam denggi dicatatkan di Kelantan bermula Januari hingga 12 Ogos tahun ini, iaitu peningkatan 225 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Hussin berkata dalam tempoh itu turut direkodkan dua kematian akibat demam denggi.
"Pada Minggu Epidemiologi lalu kita telah merekodkan peningkatan dan saya jangkakan ia akan terus meningkat dengan keadaan cuaca hujan serta kemarau sekarang ini.
"Bagaimanapun jumlah kes denggi pada tahun ini adalah lebih rendah berbanding jumlah kes denggi sebelum pandemik COVID-19 iaitu penurunan 50 peratus berbanding kes denggi pada tahun 2020 sebanyak 3,030 kes," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Sambutan Jalur Gemilang Peringkat Wisma Persekutuan Kota Bharu, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata kes denggi dijangka terus meningkat sekiranya langkah proaktif termasuk menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes tidak dilaksanakan.
Katanya hal itu berdasarkan laporan 122 wabak dicatatkan berbanding 26 wabak dalam tempoh Januari hingga 12 Ogos berbanding tempoh sama tahun lepas,
"Daripada jumlah itu, sebanyak 97 wabak telah tamat manakala 25 wabak lagi masih aktif dan tiada wabak titik panas yang melebihi 30 hari berlaku di Kelantan.
"Setakat ini lokaliti titik panas yang dikenal pasti adalah di Kota Bharu, Bachok dan Tumpat," katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata JKNK sentiasa menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan untuk semua kes termasuk wabak denggi yang dilaporkan, dalam usaha memutuskan rantaian jangkitan menerusi kawalan vektor.
Katanya langkah itu melibatkan pemeriksaan premis, semburan kabus, penghapusan tempat pembiakan dan pendidikan kesihatan.
"Sehingga 12 Ogos lalu, sejumlah 371,269 premis telah diperiksa tempat pembiakan aedes dan 1,639 kompaun dengan nilai RM 819,500 telah dikeluarkan kepada pemilik premis yang dijumpai terdapat pembiakan aedes di dalam premis mereka.
"Pengkompaunan dibuat di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975 (Akta 154)," katanya.
-- BERNAMA
#kes denggi #Dr Zaini Hussin #Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan #Minggu Epidemiologi
;