Kes denggi catat penurunan minggu lepas
Bernama
Februari 2, 2023 05:45 MYT
Februari 2, 2023 05:45 MYT
KUALA LUMPUR: Kes demam denggi yang dilaporkan pada Minggu Epidemiologi keempat 2023 dari 22 Jan hingga 28 Jan adalah sebanyak 1,910, berbanding 2,319 kes pada minggu sebelumnya, iaitu penurunan sebanyak 409 kes atau 17.6 peratus dengan satu kematian dicatatkan.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan sehingga kini adalah sebanyak 8,968 kes, berbanding 2,948 kes bagi tempoh sama tahun 2022, iaitu peningkatan sebanyak 6,020 kes atau 204.2 peratus.
"Sebanyak empat kematian akibat komplikasi demam denggi dilaporkan berbanding tiada kematian bagi tempoh yang sama pada 2022," katanya dalam kenyataan semalam.
Dr Noor Hisham berkata sebanyak 79 lokaliti hotspot dilaporkan pada minggu tersebut berbanding 80lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya dengan 51 lokaliti hotspot berada di Selangor; 14 lokaliti hotspot di Kuala Lumpur dan Putrajaya; 12 lokaliti hotspot di Sabah dan dua lokaliti hotspot di Pulau Pinang.
Beliau berkata survelan chikungunya merekodkan sebanyak lima kes pada minggu keempat dengan tiga kes di Pulau Pinang dan masing-masing satu kes di Kedah serta Selangor.
Katanya, jumlah kumulatif kes chikungunya sehingga kini adalah 52.
Bagi survelan zika, sebanyak 169 sampel darah dan satu sampel urin telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif, katanya.
Menyentuh mengenai pelbagai sambutan perayaan yang akan disambut, Dr Noor Hisham mengingatkan kemungkinan kelengkapan dan peralatan yang digunakan semasa musim perayaan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes jika tidak diuruskan dengan baik.
"Oleh itu, pastikan kebersihan tempat upacara dan sambutan dijaga dengan baik. Lupuskan barang yang rosak serta tidak digunakan di tempat kitar semula atau tempat pelupusan yang telah disediakan. Lakukan semburan aerosol sebelum melakukan aktiviti," katanya.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya memakai pakaian berwarna cerah serta menutup anggota badan semasa menjalankan aktiviti di luar rumah pada waktu puncak gigitan nyamuk Aedes iaitu6 pagi hingga 8 pagi dan 6 petang hingga 8 malam.
"Gunakan bahan repelan nyamuk pada anggota badan yang terdedah. Cegah denggi sebelum terkena. Selamat menyambut perayaan Thaipusam dan Cap Goh Mei," kata Dr Noor Hisham.
-- BERNAMA