Kes demam denggi menurun pada ME31, lima kematian direkod

Bernama
Ogos 14, 2024 11:16 MYT
KKM turut memaklumkan penyertaan komuniti dalam aktiviti pencegahan denggi amat penting dan merupakan satu daripada strategi dalam kawalan denggi. - Gambar fail/Bernama
PUTRAJAYA: Kes demam denggi dilaporkan menurun kepada 2,515 kes pada Minggu Epidemiologi ke-31 (ME31) iaitu bagi tempoh 28 Julai hingga 3 Ogos lepas berbanding 2,609 kes pada minggu sebelumnya, dengan lima kematian akibat komplikasi direkodkan.
Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan kumulatif kes demam denggi yang dilaporkan hingga ME31 adalah sebanyak 88,255 kes berbanding 71,193 kes bagi tempoh sama tahun lepas.
"Terdapat 78 kematian akibat komplikasi demam denggi telah dilaporkan berbanding 49 kematian bagi tempoh yang sama pada 2023," menurut kenyataan itu di sini hari ini.
KKM memaklumkan bilangan lokaliti 'hotspot' yang dilaporkan pada ME31 adalah sebanyak 95 lokaliti berbanding 96 lokaliti hotspot pada minggu sebelumnya.
Menurut kenyataan itu daripada 95 lokaliti yang dilaporkan, 75 lokaliti adalah di Selangor, Negeri Sembilan (enam), Perak (lima), Kedah (dua), Pulau Pinang (satu) dan tiga lokaliti masing-masing di Wilayah Persekutuan serta Putrajaya
KKM memaklumkan bagi survelan chikungunya terdapat satu kes direkodkan pada ME31, namun tiada wabak chikungunya dilaporkan pada minggu itu.
Menurut kenyatan itu, jumlah kumulatif kes Chikungunya sehingga kini adalah 63 kes.
Bagi survelan zika, KKM memaklumkan sebanyak 1,605 sampel darah, lapan sampel urin dan tiga sampel cairan serebrospinal telah dijalankan saringan zika dan hasil kesemuanya adalah negatif.
KKM turut memaklumkan penyertaan komuniti dalam aktiviti pencegahan denggi amat penting dan merupakan satu daripada strategi dalam kawalan denggi.
Menurut kenyataan itu antara platform penyertaan komuniti adalah melalui program Komunikasi untuk Perubahan Tingkah Laku (COMBI) secara sukarela yang telah diperkenalkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 2001.
Hingga Julai tahun ini, 3,426 lokaliti COMBI telah didaftarkan di seluruh negara dengan bilangan ahli berjumlah 32,768 orang.
-- BERNAMA
#denggi #kesihatan #kes kematian #jangkitan #KKM