Kes demam denggi di Ipoh meningkat 265.9 peratus

Aida Aziz
April 28, 2023 10:20 MYT
Kerjasama semua pihak dalam memastikan aktiviti pemusnahan tempat pembiakan aedes di persekitaran kawasan rumah amat diperlukan bagi membendung penularan denggi. - Gambar hiasan
IPOH: Kes demam denggi di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) masih mencatatkan peningkatan dengan 472 kes dilaporkan sehingga 22 April lalu (Minggu Epid: 16).
Menurut Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin, peningkatan itu adalah sebanyak 265.9 peratus berbanding dengan 129 kes bagi tempoh sama tahun lalu.
"Sehingga 26 April terdapat lima lokaliti wabak iaitu Halaman Meru Permai (3 kes) dijangka tamat 6 Mei, Taman Maxwell (8 kes) dijangka tamat 2 Mei dan Kampung Baru Tambun (2 kes) dijangka tamat 1 Mei.
"Dua lagi, Taman Kinta Mas (2 kes) dijangka tamat 2 Mei dan Taman Camay (3 kes) dijangka tamat 4 Mei," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bulan April di Dewan Mesyuarat MBI, di sini, hari ini.
Katanya lagi, wabak tidak terkawal pula membabitkan empat lokaliti iaitu Halaman Ampang Mewah (15 kes), tamat pada 27 April, Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan 2 (tujuh kes) dijangka tamat 1 Mei.
"Taman Cempaka (tujuh kes) dijangka tamat 8 Mei, Kampung Manjoi (11 kes) dijangka tamat 8 Mei.
"Hotspot pula meliputi dua lokaliti iaitu Taman Cahaya Bercham (24 kes) dijangka tamat pada 29 April dan Taman Hillview (12 kes) dijangka tamat pada 1 Mei," katanya lagi.
Sementara itu, Rumaizi berkata, bilangan lokaliti wabak dapat dikurangkan dalam tempoh dua minggu lepas.
Ia menerusi Pelan Tindakan Pencegahan dan Kawalan Denggi di kawasan pentadbiran MBI serta aktiviti pencegahan dan kawalan dengan kerjasama dari semua pihak.
"Kerjasama dari semua pihak dalam memastikan aktiviti pemusnahan tempat pembiakan aedes di dalam dan di kawasan persekitaran rumah amat diperlukan bagi membendung penularan wabak denggi," katanya.
Justeru, orang ramai dinasihatkan meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu melakukan aktiviti pemeriksaan dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk aedes di persekitaran kawasan kediaman masing-masing.
#Rumaizi Baharin #denggi #hotspot denggi #aedes
;