Kes dadah: Bebas atau bela diri, nasib Ismahalil diketahui 27 Feb

Astro Awani
Januari 25, 2023 14:37 MYT
Pada 21 Februari 2022, Ismahalil mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengedar dadah jenis Kanabis, dua tahun lalu. - Gambar fail
NASIB penyampai radio, Ismahalil Hamzah yang kini berdepan pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis dua tahun lalu akan diketahui 27 Februari nanti.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur akan memutuskan sama ada Ismahalil akan dibebaskan atau dipanggil membela diri terhadap pertuduhan tersebut.
Keputusan itu akan diumumkan oleh Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin selepas selesai mendengar keterangan lima saksi pendakwaan pada perbicaraan bermula Oktober 2022.
Tarikh itu dimaklumkan kepada wakil media oleh peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili Ismahalil selaku tertuduh.
Sekiranya mahkamah bersetuju dengan pihak pendakwaan bahawa wujud kes prima facie terhadap Ismahalil, maka dia perlu membela diri.
Sebaliknya, jika mahkamah mendapati pidak pendakwaan gagal membuktikan wujud kes prima facie, Ismahalil akan dilepas dan dibebaskan.
Pihak pendakwaan menutup kes pada 9 Januari lalu selepas mendengar keterangan saksi terakhir iaitu pegawai penyiasat yang juga Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Gua Musang, ASP Khairul Hamizi Desa.
Menurut peguam itu, perbicaraan berlangsung pada 19, 20 dan 31 Oktober 2022 dan bersambung pada 3 dan 9 Januari lalu.
Adi Zulkarnain turut memaklumkan, mahkamah mengarahkan kedua-dua pihak pendakwaan dan pembelaan memfailkan hujahan bertulis pada atau sebelum 9 Februari ini.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norashikin Ibrahim manakala peguam Datuk Ahmad Zaharil Muhaiyar turut mewakili Ismahalil.
Mengikut pertuduhan, Ismahalil, 49, didakwa mengedar dadah seberat 374.6 gram di sebuah rumah di Jalan Semarak, Wangsa Maju di sini pukul 5.35 petang pada 27 Ogos 2021.
Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pada 27 Januari 2022, Mahkamah Majistret membenarkan kes Ismahalil dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Kes dadah itu dipindah dan dibicarakan ke Mahkamah Tinggi berikutan hukuman bagi pertuduhan tersebut memperuntukkan hukuman gantung sampai mati.
Pada 21 Februari 2022, Ismahalil mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengedar dadah jenis Kanabis, dua tahun lalu.
#Ismahalil Hamzah #penyampai radio #pengedar dadah jenis kanabis #Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
;