Kes curi uniform polis di kedai dobi adalah palsu
Bernama
Disember 28, 2016 23:18 MYT
Disember 28, 2016 23:18 MYT
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini menafikan kebenaran berita kecurian 30 baju uniform anggota polis di sebuah kedai dobi di Subang Jaya.
Khalid melalui laman Twitternya, menafikan dakwaan kecurian berkenaan yang telah diviralkan di laman media sosial sejak semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Mohammad Azlin Sadari, dalam laman Facebook Polis Daerah Subang Jaya pula berkata dakwaan kecurian itu adalah cerita viral lama.
"Viral ini adalah palsu...Tiada kes seperti ini dilaporkan di daerah Subang Jaya (baru-baru ini)," katanya.
Mohammad Azlin turut menasihati orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dalam menyebarkan sebarang berita dan perlu memastikan kesahihan berita itu sebelum diviralkan.
Kes kecurian baju uniform polis itu dilaporkan pada Februari tahun lepas.
Seorang pemilik kedai dobi membuat laporan polis apabila menyedari sebanyak 30 helai uniform polis telah dicuri dari kedai itu selepas dipecah masuk. -- BERNAMA