Kes curi RM200,000: Pengawal keselamatan dihukum penjara setahun, denda RM4,500

Adie Sufian Zulkefli
November 26, 2024 13:40 MYT
Muhd Fairul Fizree (tengah) dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM4,500 selepas mengaku bersalah mencuri wang tunai RM200,000. -Astro AWANI
ALOR SETAR: Seorang pengawal keselamatan dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM4,500 oleh Mahkamah Majistret Alor Setar hari ini selepas mengaku salah atas tuduhan mencuri wang tunai berjumlah RM200,000 pada 19 November lalu.

Ringkasan AI
  • Muhd Fairul Fizree Abdul Hamid dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM4,500 selepas mengaku bersalah mencuri wang tunai RM200,000. Jika gagal membayar denda, dia akan menjalani hukuman penjara tambahan setahun.
  • Muhd Fairul Fizree melakukan jenayah ini bersama dua rakan sekerjanya, tetapi hanya dia yang mengaku bersalah. Dua rakan sekerjanya, Mohamad Zul Hilmi Ahmad dan Muhammad Fadzli Yaakub, mengaku tidak bersalah dan akan dibicarakan.
  • Peguam tertuduh memohon hukuman ringan kerana tertuduh belum berkahwin dan menjaga kakaknya yang sakit, tetapi pendakwa raya memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada orang ramai.

Majistret Siti Norhidayah Mohd Noor turut menetapkan hukuman penjara setahun lagi ke atas tertuduh, Muhd Fairul Fizree Abdul Hamid, 38, jika dia gagal membayar denda yang ditetapkan.
Terdahulu, tertuduh membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan secara bersama dengan dua rakan sekerjanya melakukan jenayah itu.
Bagaimanapun, hukuman terhadap Muhd Fairul Fizree ditetapkan hari ini selepas barangan kes tidak dapat dikemukakan di mahkamah, semalam.
Mengikut pertuduhan, Muhd Fairul Fizree secara bersama dengan dua rakan sekerjanya mencuri wang tunai berjumlah RM200,000 milik majikan mereka iaitu syarikat Kawal Wiramas Sdn Bhd di sekitar lampu isyarat Taman Kristal, di sini, pada jam 10.34 pagi, 19 November lalu.
Dua tertuduh lain iaitu Mohamad Zul Hilmi Ahmad, 37, dan Muhammad Fadzli Yaakub, 28, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan terhadap mereka dan mohon dibicarakan.
Bagi kesalahan itu, ketiga-tiga mereka didakwa di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda.
Terdahulu, peguam yang mewakili Muhd Fairul Fizree iaitu Mohd Khairul Afizuddin Ramli memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman ringan memandangkan tertuduh belum berkahwin dan bertanggungjawab menjaga kakaknya yang menghidap penyakit buah pinggang.
Timbalan Pendakwa Raya R Jayasri, bagaimanapun, memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepada orang ramai.
#Mahkamah Majistret #Muhd Fairul Fizree Abdul Hamid #RM200000 #pengawal keselamatan #Mohamad Zul Hilmi Ahmad #Muhammad Fadzli Yaakub
;