Kes curi: Pembantu peribadi pelakon wanita ditahan

Bernama
Ogos 16, 2024 19:19 MYT
Wanita itu yang ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, kini direman empat hari hingga 18 Ogos. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang pembantu peribadi ditahan Rabu lepas kerana disyaki terlibat dalam kes curi di rumah seorang pelakon wanita yang juga majikannya di Taman Cempaka, Ampang, membabitkan kerugian kira-kira RM30,000.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Supt Nazruel Ekram Abu Saare berkata wanita itu yang ditahan di pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, kini direman empat hari hingga 18 Ogos.
"Pada 26 Jun lepas, semasa pengadu (pelakon) berada di rumah, beliau telah menyedari rantai emas miliknya telah tiada dalam simpanan.
"Pengadu telah bertanya kepada pembantu peribadinya itu akan tetapi suspek menafikan telah mengambil rantai emas itu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata apabila pengadu membuat pemeriksaan lanjut, didapati dua gelang emas dan satu rantai emas milik anak pengadu turut tiada dalam beg tangannya.
"Pengadu mengesyaki suspek mencuri barang-barang tersebut berikutan pada bulan Mac lalu beliau juga pernah kehilangan wang tunai sebanyak RM10,000," katanya.
Nazruel Ekram berkata suspek mempunyai dua rekod jenayah lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu curi di dalam bangunan.
-- BERNAMA
#pembantu peribadi ditahan #pelakon wanita #curi rantai #Polis Ampang Jaya