Kes curi kenderaan di Petaling Jaya meningkat sebanyak 20.7 peratus

Bernama
Mac 2, 2023 19:04 MYT
ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata sebanyak 82 kes kehilangan kenderaan dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini berbanding 65 kes tempoh yang sama tahun lepas. - Bernama
PETALING JAYA: Kes curi kenderaan di daerah ini merekodkan peningkatan sebanyak 20.7 peratus bagi tempoh dua bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata sebanyak 82 kes kehilangan kenderaan dicatatkan bagi tempoh Januari hingga Februari tahun ini berbanding 65 kes tempoh yang sama tahun lepas.
"Dalam tempoh yang sama, seramai 13 individu juga ditahan dan sebanyak lapan kenderaan berjaya dirampas," katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran papan tanda keselamatan kerjasama antara Polis Diraja Malaysia dan Carsome di Lembah Subang, hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Carsome Academy Teoh Jiun Ee.
Sementara itu, Mohamad Fakhrudin berkata jalinan kerjasama berkenaan merupakan antara usaha membantu pihak polis dalam mencegah jenayah itu di daerah berkenaan.
Katanya syarikat Carsome akan menaja pemasangan sebanyak 34 papan tanda mesej keselamatan di kawasan-kawasan hotspot sekitar daerah berkenaan seperti di Desa Menteri, SS2, Mentari Court, Flora Damansara dan di Lembah Subang yang dikenalpasti sering berlaku jenayah itu.
-- BERNAMA
#curi kenderaan #Petaling Jaya #polis #Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid
;