Kes culik Kajang: Tiga dihadapkan ke mahkamah hari ini

Azyyati Ahmad
Oktober 16, 2015 04:49 MYT
Abd Jalil menetapkan 21 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut. - Gambar Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Seorang ahli perniagaan bersama seorang pemandu lori dan pekerja buruh warga Indonesia dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kajang jam 11 pagi Jumaat atas kesalahan menculik seorang kanak-kanak di Sungai Chua.
Ketiga-tiga tertuduh berkenaan Riduansyah Yahya, 32, Mohd Saifulamry Jarkasy, 28 dan Siow Kek Keong, 45 didakwa melakukan bersama-sama pada 9 Oktober lalu pada 9.26 pagi bertempat di tepi Jalan Seroja bersebelahan rumah No.40, Taman Setia Sungai Chua, di sini.
Mengikut kertas pertuduhan ketiga-tiga tertuduh mencapai niat bersama telah menahan dan mengurung secata tidak sah seorang kanak kanak lelaki berusia lima tahun untuk mendapatkan wang tebusan sebanyak RM300,000.
Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada ketiga-tiga suspek ketika pertuduhannya dibacakan di hadapan Majistret Abd Jalil Salam Muhamad.
Saifulamry diwakili peguam Mohd Fadli Yaakob dan Siow diwakili peguamnya Datuk Geethan Ram Vincent manakala Riduansyah tidak diwakili.
Kesalahan didakwa di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penculikan 1961 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau sebatan jika tidak dikenakan hukuman mati.
Abd Jalil menetapkan 21 Disember sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut
Dalam pada itu pemandu teksi Hanizan Mohamed Radzi yang menyelamatkan kanak-kanak tersebut dibebaskan dengan jaminan mahkamah kira-kira jam 10:45 pagi.
#culik #Mohd Saifulamry Jarkasy #Riduansyah Yahya #Siow Kek Keong #Sungai Chua