Kes culik Albertine Leo, 3 suspek direman 4 hari

Siti Nur Aqilla Omar
Julai 23, 2024 03:00 MYT
Kesemua suspek direman empat hari bermula hari ini sehingga Jumaat. - Foto Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Tiga suspek termasuk seorang wanita berhubung kes kehilangan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di pusat perniagaan Eco Galleria, Iskandar Puteri, pada Sabtu lalu, direman empat hari.
Permohonan reman bermula hari ini sehingga Jumaat ini dibenarkan Majisteret Suhaili Sapun bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan.
Terdahulu suspek lelaki tiba di perkarangan Kompleks Mahkamah Johor Bahru di sini pada jam 8.45 pagi dengan memakai baju lokap berwarna jingga dan ungu.
Manakala suspek wanita yang memakai pakaian lokap berwarna jingga tiba 10 minit kemudian.
Semalam, tiga individu warga tempatan berusia 28 hingga 55 tahun itu ditahan di sekitar Gelang Patah, jam 1.30 petang.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar dilaporkan berkata kes kehilangan kanak-kanak itu juga sudah diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana menculik dan melarikan seseorang dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah.
Katanya memaklumkan kanak-kanak itu juga setakat ini masih belum ditemui.
"Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.
"Sebarang maklumat mengenai kejadian itu boleh disalurkan ke talian hotline Polis Johor di talian 019-2792095 atau talian Bilik Gerakan 07-2212999," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Sabtu lalu, Albertine Leo Jia Hui disedari hilang oleh bapanya kira-kira jam 8.30 malam.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner M Kumarasan dilaporkan berkata, kanak-kanak itu berketinggian kira-kira 120 sentimeter (cm) dan rambutnya panjang berwarna hitam selain berkulit cerah dan bertubuh kurus sederhana.
Ketika hilang, kanak-kanak itu memakai baju t-shirt putih bergambar 'Mickey Mouse' dan berseluar pendek.
#kes culik #Kanak-kanak #reman #suspek