Kes culik: 3 suspek tiba di mahkamah untuk reman

Sinar Harian
Julai 23, 2024 02:10 MYT
Suspek yang disiasat babit kes culik kanak-kanak perempuan tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru pada Selasa. - Foto Sinar Harian
JOHOR BAHRU: Tiga suspek yang disiasat bagi kes culik seorang kanak-kanak perempuan yang hilang di pusat beli-belah Eco Galleria, Iskandar Puteri, pada Sabtu tiba di Kompleks Mahkamah Johor Bahru di sini pada pagi Selasa.
Suspek yang terdiri daripada dua lelaki dan seorang wanita itu dikawal ketat anggota polis serta bergari tiba di pekarangan kompleks mahkamah kira-kira jam 8.45 pagi.
Suspek yang memakai baju lokap berwarna jingga dan ungu itu dibawa mahkamah untuk mendapatkan perintah reman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan.
Sebelum itu, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia 28 hingga 55 tahun ditahan di Gelang Patah, Iskandar Puteri, dekat sini pada jam 1.30 tengah hari Isnin.
Ketua Polis Johor, Komisioner M Kumar menerusi kenyataannya sebelum itu, memberitahu kanak-kanak perempuan Albertine Leo Jia Hui, 6, masih belum ditemui.
Kanak-kanak perempuan tersebut, disedari hilang oleh bapanya kira-kira jam 8.30 malam, Sabtu di lokasi kejadian terbabit.
Kanak-kanak itu kali terakhir dilihat berpakaian baju-T berwarna putih dengan gambar ‘Mickey Mouse’ di bahagian dada dan berseluar pendek. - Sinar Harian
#kanak-kanak hilang #kes culik #suspek #reman