Kes cuai khatan: Peguam, keluarga mohon kerajaan akur keputusan Mahkamah Tinggi

Rahimah Abdullah
Julai 16, 2022 18:25 MYT
Peguam dan keluarga pemuda yang terpotong kepala zakar ketika berkhatan, Amir Lokman kesal dengan tindakan Jabatan Peguam Negara untuk memohon menolak sepenuhnya keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Peguam dan keluarga pemuda yang terpotong kepala zakar ketika berkhatan, Amir Lokman kesal dengan tindakan Jabatan Peguam Negara memohon untuk menolak sepenuhnya keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Hakim, Datuk Akhtar Tahir sebelum ini mendapati pihak kakitangan kerajaan di Hospital Daerah Kuala Lipis dan Hospital Pakar Selayang, Kuala Lumpur melakukan 100 peratus kecuaian terhadap plaintif yang ketika itu berusia 10 tahun.
Peguam, Mohamad Zainuddin Abu Bakar berkata, kes berkenaan berlanjutan berikutan fakta yang didakwa cuba disembunyikan, namun berjaya didedahkan Mahkamah Tinggi.
"Kes ini menjadi panjang kerana terdapat fakta bahawa kepala zakar plaintif telah putus habis, tetapi perkara ini telah disembunyikan oleh kesemua kakitangan serta pihak hospital dari kedua-dua hospital kepada pihak ahli keluarga yang mana akhirnya telah berjaya dirungkai oleh Hakim Datuk Akhtar Tahir yang memberi arahan perbicaraan difokuskan kepada post circumcision sahaja untuk memastikan keadaan sebenar kepala zakar plaintif telah terputus atau tidak dan sama ada perbuatan kakitangan kedua hospital itu wajar atau tidak," katanya dalam sidang media pada Sabtu.
Katanya, saksi yang merupakan pembantu perubatan prosedur berkhatan ke atas plaintif telah membuat pengakuan bersumpah di hadapan Hakim bahawa beliau telah terpotong hingga putus kepala zakar plaintif.
"Hakim kemudian mendapati kepala zakar yang terputus tidak dimasukkan di dalam plastik ais daripada mula ia tiba di Hospital Selayang dan seterusnya hingga pada masa pembedahan penyambungan jam 8.15 malam dibuat, di mana darah zakar plaintif telah kering dan penyambungan tidak boleh dibuat," ujarnya.
Katanya lagi, Hakim, Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad yang mendengar perbicaraan di dalam kamar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mencadangkan plaintif dan defendan pertama membuat penyelesaian di luar mahkamah tanpa melibatkan defendan kedua, ketiga, keempat, kelima dan keenam.
"Plaintif dan defendan pertama melalui peguamnya telah membuat pembayaran ke mahkamah dengan pampasan sebanyak RM90,000 sahaja berkaitan dengan liabiliti defendan pertama," ujarnya lagi.
Justeru, keluarga Amir Lokman menuntut kerajaan akur keputusan Hakim Mahkamah Tinggi sebelum ini di atas perbuatan kakitangannya yang didakwa menyembunyikan fakta sebenar dan menjadi punca kepala zakar tidak dimasukkan di dalam ais serta tidak dapat diselamatkan.
Sementara itu, ibu Amir Lokman mendedahkan, anaknya yang kini berusia 22 tahun mula berubah sikap daripada seorang periang kepada pendiam susulan kejadian.
Menurut Norhamsiah Ahmad lathim, anak bongsu dari lima adik-beradik itu lebih banyak menyendiri dan lebih suka duduk di rumah.
"Dia segan, dia juga tidak berapa nak luah perasaan dia kepada kami. Kita tanya dia, tetapi dia tak berapa nak jawab sebab dia pendam.
"Sekarang ini dia tidak bekerja, dan lebih suka duduk rumah jaga saya sebab saya tidak sihat," katanya.
Amir Lokman juga telah menamatkan pendidikan sehingga ke tingkatan lima, dan sepanjang persekolahan, remaja itu tidak suka bersosial dan tidak aktif seperti rakan-rakan sebayanya dipercayai kerana kehilangan keyakinan diri susulan kejadian.
Sebelum ini, kerajaan Malaysia dan empat pihak lain telah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memberikan ganti rugi berjumlah RM3.1 juta kepada plaintif.
BACA: Kes cuai khatan: Kerajaan dan empat lagi fail rayuan
Jabatan Peguam Negara telah memfailkan rayuan berhubung keputusan itu di Mahkamah Rayuan pada 27 April lepas.
#Khatan #terpotong zakar #Amir Lokman #kes cuai khatan #Mahkamah Tinggi
;