Kes COVID-19 tinggi, kekal disiplin patuh SOP selepas Darurat tamat - Hamzah

Najib Aroff
Julai 23, 2021 17:56 MYT
Menurut Hamzah, sikap dan disiplin dalam pematuhan SOP dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh barisan hadapan termasuk anggota keselamatan. - Bernama
KUALA LUMPUR: Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin menyeru semua pihak termasuk industri agar tidak mengambil mudah mengenai pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) apabila darurat tamat pada 1 Ogos nanti.
Menurut Hamzah, sikap dan disiplin dalam pematuhan SOP dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh barisan hadapan termasuk anggota keselamatan.
"Saya takut apabila sampai 1 Ogos apabila tamat Darurat, saya takut dalam keadaan hari ini (dengan) kompaun banyak sehingga RM10,000, angka positif masih tinggi.
"Apa akan jadi apabila tamatnya (Darurat) nanti?," katanya kepada media selepas melakukan pemeriksaan di dua tapak pembinaan di bawah OP Patuh.
Sementara itu, KDN akan mengeluarkan satu kertas persetujuan bagi menentukan kriteria kumpulan warga asing khususnya yang tidak mempunyai dokumen untuk menerima suntikan vaksin secara walk-in.
"Jika mereka tidak ada dokumen, cari penaja. Jika mereka duduk di sini tanpa penaja, maksudnya mereka lakukan kesalahan besar. Sudah tentu majikan boleh menjadi penaja dan menulis surat untuk mendaftarkan pekerja mereka," katanya.
Hamzah berkata, perkara itu boleh dilakukan di bawah program rekalibrasi di bawah kementeriannya namun undang-undang Imigresen masih lagi menjadi rujukan utama dalam pengurusan kes berkenaan.
#Hamzah Zainuddin #PDRM #SOP #COVID-19 #darurat #Sekatan Jalan Raya #SJR #CITF #Badan Bertindak Imunisasi COVID-19
;