Kes COVID-19 tidak naik mendadak selepas Aidilfitri, tahniah rakyat Malaysia! - Khairy
Ridauddin Daud
Mei 19, 2022 15:27 MYT
Mei 19, 2022 15:27 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin percaya rakyat Malaysia ada kemampuan untuk menjayakan fasa peralihan ke endemik.
Menurutnya, ia terbukti apabila tiada peningkatan mendadak kes COVID-19 direkodkan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Justeru, beliau mengucapkan tahniah kepada rakyat Malaysia dari segi tingkah laku yang baik pada Fasa Peralihan Ke Endemik.
“Tahniah rakyat Malaysia. Kita melihat dari segi tingkah laku rakyat Malaysia sangat baik dalam fasa peralihan endemik. Di kawasan terbuka luar pun masih lagi pakai pelitup muka.
“Jadi maknanya rakyat Malaysia sudah tahu macam hendak hidup dengan COVID-19 dan mereka juga tahu sekiranya ada gejala, jangan keluar, jangan campur dengan masyarakat untuk asingkan diri.
“Jadi nampak rakyat Malaysia memang ada kemampuan untuk menjayakan peralihan ke endemik ini,” katanya pada sidang media selepas merasmikan program Hari Asma Sedunia 2022 di sini pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi mengulas jangkaan sesetengah pihak yang meramal kes COVID-19 akan naik mendadak selepas Aidilfitri namun selepas dua minggu, keadaan masih terkawal dan tiada peningkatan mendadak berlaku.
Dalam pada itu, Khairy berkata, faktor vaksinasi juga turut mendorong kejayaan Malaysia membendung wabak berkenaan.
“Vaksinasi ini membantu mengurangkan kesan yang buruk (kepada pesakit COVID-19) dan kita tengok sekarang ini hospital kita tidak lagi penuh dengan kes COVID-19.
“Keadaan ini membolehkan banyak kes lain dapat kita selesaikan sekarang bagi tumpuan bagi asma dan penyakit serius yang lain,” katanya.
Katanya lagi, tahap pematuhan tinggi yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia ini juga secara tidak langsung turut membolehkan pihak berkuasa terutamanya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak perlu lagi menguatkuasakan undang-undang dengan memberikan kompaun seperti mana dilaksanakan sebelum ini.