Kes COVID-19 meningkat: KKM akan hantar kakitangan tambahan ke Sarawak - Dr Adham

Astro Awani
April 13, 2021 05:18 MYT
Dr Adham bercakap kepada pemberita sewaktu melawat pusat pemberian vaksin di Stadium Perpaduan Sarawak di Kuching hari ini. - Foto Astro AWANI
KUCHING: Bagi menampung keperluan menangani penularan pandemik COVID-19 di Sarawak, sekitar 300 hingga 500 kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) akan dihantar ke lokasi memerlukan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, keputusan diambil setelah menilai semua pandangan pegawai kesihatan daerah berhubung isu kekurangan kakitangan di negeri itu.
Keperluan ini adalah untuk melaksanakan pengesanan kontak, ujian saringan, serta melakukan rawatan dan proses isolasi.
"Sebenarnya dulu kita pernah buat perkara ini di Sabah apabila berlaku peningkatan kes jadi Sabah dah menurun dan kita dah boleh tugaskan petugas-petugas di Sabah dan dihantar ke Sarawak.
"Anggarannya, kita perlukan lebih kurang 300 hingga 500 petugas daripada pelbagai kategori melibatkan doktor, jururawat, pembantu perubatan, pegawai teknologi makmal dan radiologi," katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat pusat pemberian vaksin di Stadium Perpaduan Sarawak di Kuching pada Selasa.
Pada Isnin, Sarawak kekal merekodkan kes positif COVID-19 tertinggi di Malaysia dengan 351 kes menjadikan jumlah kumulatif di sana meningkat kepada 20,352.
#COVID-19 di Sarawak #Adham Baba #kes tertinggi COVID-19 #kluster aktif di Sarawak #petugas khas KKM #kes aktif di Sarawak