Kes COVID-19 dijangka terus meningkat - Dr Hishamshah
Bernama
Ogos 6, 2021 17:31 MYT
Ogos 6, 2021 17:31 MYT
PUTRAJAYA: Kes harian COVID-19 dijangka terus meningkat sebelum kadar vaksinasi negara mencapai 80 peratus pada hujung Oktober ini, kata Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.
Beliau berkata pada masa ini peningkatan kes baharu adalah disebabkan negara berdepan dengan varian-varian baharu seperti Delta.
"Mengambil contoh kadar vaksinasi di Wilayah Persekutuan Labuan dan Sarawak yang tinggi menunjukkan kes baharu menurun, tetapi yang lebih kita tekankan di sini (Labuan dan Sarawak) adalah kadar kemasukan ke dalam wad Unit Rawatan Rapi (ICU) dan kadar kematian menunjukkan penurunan yang ketara.
"Kita jangka kalau kita dapat buat perkara serupa di Semenanjung, lebih-lebih lagi di tempat hotspot yang sedang mengalami wabak yang meningkat terutamanya di Lembah Klang, dengan peningkatan kadar vaksinasi kita akan dapat lihat penurunan (kes).
"Penurunan kes mungkin mengambil masa sedikit tetapi yang lebih penting kita nak lihat penurunan dari segi kemasukan pesakit-pesakit yang serius ke wad, maknanya mereka yang memerlukan ICU dan mereka yang meninggal dunia, itu kita harap dapat turunkan," katanya dalam sidang media khas di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan (KKM) Datuk Mohd Shafiq Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) merangkap Komander Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley Datuk Dr Chong Chee Kheong dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha'ari Ngadiman.
Beliau berkata hingga 22 Julai lepas, KKM telah mengesan sejumlah 409 kes varian yang membimbangkan (VOC) berkaitan virus COVID-19 di Malaysia iaitu 189 kes bagi varian Delta, 206 kes bagi varian Beta dan 14 kes bagi varian Alpha.
"Pada bulan ini kita menjangkakan jumlah penjujukan genom akan meningkat sebab kita telah menubuhkan konsortium tujuh makmal di Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi dan di universiti.
"Ia akan meningkatkan lagi 1,000 penjujukan genom sebulan dan dengan itu kita akan dapat lebih terperinci lagi maklumat tentang penyebaran varian-varian di dalam negara kita," katanya.
-- BERNAMA
#kes COVID-19
#terus meningkat
#peningkatan
#vaksinasi
#Oktober
#Dr Hishamshah Mohd Ibrahim
#KKM
#Lembah Klang
#hotspot
#Labuan