Kes COVID-19 dalam negara bakal cecah angka 20,000 beberapa hari lagi - Dr Malina

Afiezy Azaman
Oktober 16, 2020 10:51 MYT
DR MALINA: Angka jangkitan COVID-19 dalam negara dijangka mencecah 20,000 dalam masa beberapa hari lagi.
KUALA LUMPUR: Jumlah jangkitan COVID-19 dalam negara dijangka mencecah 20,000 kes dalam masa beberapa hari lagi.
Ia berdasarkan pola peningkatan kes ketika ini dengan purata 550 hingga 650 kes yang direkodkan sejak kebelakangan ini.
Perkara itu dinyatakan Pakar Kesihatan Awam, Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Madya Dr Malina Osman.
"Dari segi kesihatan awam, kita lebih melihat pada angka jumlah kes aktif, kes baharu dan jumlah mereka yang kritikal dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) di samping pola taburan kes dan kluster baharu.
"Pada masa kini, kes aktif hampir mencecah 6,000 di seluruh negara. Usaha mempergiat pencegahan serta melindungi zon-zon hijau perlu dipertingkatkan.
"Kita semua perlu serius mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan saling berganding bahu bersama barisan hadapan untuk memutuskan rantaian jangkitan dan melandaikan graf," katanya kepada Astro AWANI.
Pada Rabu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan jumlah kes baharu COVID-19 di negara sebanyak 589 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 18,129 kes.
Manakala angka kematian mencecah 170 kes dengan pertambahan tiga kematian.
Mengulas lanjut, Malina berkata langkah paling praktikal pada masa ini ialah menutup sempadan negeri serta melarang perjalanan antara negeri di seluruh negara.
"Dalam masa yang sama, negeri-negeri yang masih dalam zon hijau boleh meneruskan kehidupan seperti biasa manakala negeri yang terlibat dengan peningkatan kes atau kluster seperti Selangor perlu dilaksanakan PKPB atau PKPDB bergantung kepada keadaan," jelasnya.
#Kementerian Kesihatan #COVID-19 #PKPB #Pakar Kesihatan Awam #Dr Malina Osman #Angka jangkitan #20000 kes #Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan #unit rawatan rapi
;